Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 30 Julai. - Sumbangan signifikan yang diberikan oleh individu-individu cemerlang terus menjadi pemangkin semangat kepada golongan belia untuk menyumbangkan bakti kepada agama, raja dan negara.
Pengiktirafan yang diterima bukan sahaja menjadi penghargaan terhadap usaha mereka, malah membuktikan bahawa setiap sumbangan, walau dalam apa jua bidang, mampu memberi impak besar kepada pembangunan negara.
Semasa Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Brunei dan Muara, lima belia yang aktif menyumbangkan khidmat dalam bidang kemasyarakatan, pendidikan, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); keagamaan dan industri kreatif telah dipilih untuk berpeluang duduk santap bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Peluang yang amat berharga berkenaan bukan sahaja menjadi kenangan terindah dalam kehidupan mereka, malah membuka ruang untuk berkongsi sendiri kepada baginda mengenai sumbangan yang telah dilaksanakan, di samping menyampaikan aspirasi serta perancangan masa depan dalam bidang masing-masing. Pengiktirafan berkenaan sekali gus menyuntik semangat untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan demi kemajuan Negara Brunei Darussalam (NBD).
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan SMARTER Brunei, Dayang Sharifah Adila Surya binti Malai Haji Abdullah, menjelaskan peluang berkenaan merupakan satu penghormatan yang amat besar dan hanya hadir sekali seumur hidup.
Beliau menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas pengiktirafan yang diberikan kepada golongan belia yang berkhidmat kepada masyarakat. Selama 25 tahun penubuhan SMARTER Brunei, persatuan berkenaan telah mendidik, membimbing dan menyokong kanak-kanak autisme serta keluarga mereka.
Dalam tempoh yang sama katanya lagi, SMARTER Brunei turut berjaya melahirkan tenaga mahir tempatan, dengan kira-kira 80 peratus tenaga kerja persatuan terdiri daripada bakat-bakat tempatan yang berkemahiran dalam pengurusan dan pendidikan individu autisme.
Beliau turut berkongsi perancangan masa depan persatuan berkenaan untuk membina sebuah sekolah khusus bagi kanak-kanak autisme serta memperluaskan perkhidmatan kepada golongan warga emas Orang Kelainan Upaya (OKU).
Menurutnya lagi, pembangunan berkenaan akan memastikan perkhidmatan kepada komuniti terus berkembang sejajar dengan keperluan masyarakat.
Mengakhiri perkongsiannya, Dayang Sharifah Adila Surya menyeru golongan belia supaya sentiasa mengikhlaskan niat dalam setiap usaha, terus menyokong kerajaan dan berganding bahu membina masyarakat yang lebih maju, inklusif serta berdaya saing.
Sementara itu bagi Dayang Lee Jing Jing, seorang belia yang aktif dalam bidang STEM mengongsikan peluang bertemu secara dekat dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia merupakan satu penghormatan yang amat bermakna.
Graduan Tingkatan 6 dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan berkenaan seterusnya menjelaskan, pemilihannya menghadiri majlis berkenaan membuktikan bahawa usaha, dedikasi dan sumbangan golongan belia sentiasa mendapat perhatian serta penghargaan.
Beliau aktif menyertai pelbagai pertandingan dan aktiviti STEM, dengan pencapaian paling membanggakan ialah penghasilan sebuah peranti inovatif yang mampu menjana tenaga elektrik daripada tanah sebagai usaha menyokong pembangunan tenaga lestari selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Dayang Lee Jing Jing seterusnya berkata, peluang bertemu baginda menjadi pembakar semangat untuk terus berinovasi serta menyumbang kepada pembangunan negara, di samping menjadi inspirasi kepada lebih ramai belia untuk menceburi bidang STEM.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada generasi muda agar tidak mudah berputus asa dan sentiasa berani mencuba perkara baharu.
"Jangan takut untuk meneroka peluang baharu kerana kita tidak pernah tahu potensi yang mampu kita capai. Teruskan berusaha dan lakukan yang terbaik kerana setiap usaha pasti akan membuahkan hasil," ujarnya lagi.
Manakala dalam bidang keagamaan pula, lepasan Universiti Al-Azhar, Awang Muhammad Ekram 'Afif bin Haji Awang Mohd. Hanafi, 25 tahun, menyifatkan peluang santap bersama Kebawah DYMM merupakan satu penghormatan yang amat bermakna dan sukar diperoleh.
Beliau turut berkongsi pengalaman ketika menjadi Imam Solat Sunat Tarawih di Jepun, yang menurutnya memberi peluang untuk menyampaikan syiar Islam kepada masyarakat di luar negara serta memahami cabaran umat Islam dalam menghidupkan suasana Ramadan di negara berkenaan.
Awang Muhammad Ekram 'Afif berharap pengalaman yang diperoleh akan terus menjadi dorongan untuk berbakti kepada masyarakat melalui bidang keagamaan dan kemasyarakatan.
Sementara Pegawai Pendidikan, Awang Haji Kairulazhar bin Haji Rosli ketika ditemui menjelaskan peluang menghadiri majlis berkenaan menjadi motivasi untuk terus berinovasi dalam sektor pendidikan.
Jelasnya lagi, antara sumbangan signifikannya ialah pembangunan e-Resources 2.0, yang memperkukuh platform MOE TV dan SUMBER melalui penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan serta memperkayakan pengalaman pembelajaran.
Inovasi berkenaan tambahnya telah menerima Anugerah Emas Anugerah Inovasi Perdana (AIP) 2025, sekali gus menjadi pembakar semangat untuk terus menghasilkan pembaharuan dalam bidang pendidikan.
Awang Haji Kairulazhar turut menyifatkan Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat sebagai sebuah majlis yang penuh kemesraan, mengangkat semangat perpaduan dalam kalangan rakyat daripada pelbagai latar belakang serta mencerminkan hubungan erat antara raja dan rakyat.
Menurutnya lagi, hubungan istimewa berkenaan menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat untuk terus menyumbang khidmat bakti demi kemajuan negara.
Manakala, Penolong Pegawai Projek II di Universiti Brunei Darussalam, Awang Muhammad Khalil Hazazi bin Haji Abdul Latif, mengakui berasa terkejut namun amat teruja apabila dimaklumkan beliau terpilih untuk menghadiri santap bersama Kebawah DYMM.
Beliau yang telah menyumbang sebagai pereka grafik bagi Buku Dirgahayu sejak 2019 berkata, peluang berkenaan memberikan keyakinan bahawa setiap usaha dan hasil kerja anak tempatan sentiasa mendapat perhatian serta penghargaan daripada baginda.
Menurutnya lagi, sikap prihatin Kebawah DYMM yang sentiasa mengambil berat mengenai perkembangan dan sumbangan golongan belia menjadi inspirasi untuk beliau terus berkarya serta memberikan yang terbaik kepada negara.
Peluang santap bersama Kebawah DYMM jelasnya lagi, menjadi lebih daripada sekadar satu penghormatan. Ia merupakan simbol penghargaan terhadap sumbangan belia yang telah mencurahkan bakti dalam pelbagai bidang, sekali gus menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai generasi muda yang berani berinovasi, berkhidmat kepada masyarakat dan bersama-sama merealisasikan aspirasi Wawasan Brunei 2035.