Strategi tenaga kerja tempatan seimbang dengan keperluan industri negara

9 Og 2026 - 9:49am

Oleh : Dk. Hajah Naqayatul Akma Pg. Haji AliFoto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman sukacita ingin mengongsikan iaitu berdasarkan Banci Majikan dan Pekerja 2025, seramai 148,129 orang bekerja dalam sektor swasta, terdiri daripada 66,116 pekerja tempatan atau 45 peratus dan 82,013 orang pekerja asing atau 55 peratus.

Lima sektor yang mencatatkan kebergantungan tertinggi kepada pekerja asing ialah Sektor Pembinaan; Sektor Pertanian, Perhutanan dan Perikanan; Sektor Lain-lain Aktiviti Perkhidmatan; Sektor Aktiviti Penginapan dan Perkhidmatan Makanan dan Sektor pembuatan, kongsi Yang Berhormat bagi menjawab soalan-soalan yang diutarakan oleh Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, Penghulu Mukim Bukit Sawat dan Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Daniel@Tekpin bin Ya’akub, Penghulu Mukim Ukong.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan Sektor Pembinaan sebanyak 82 peratus (21,611 orang) pekerja asing berbanding 18 peratus (4,714 orang) pekerja tempatan, diikuti dengan Sektor Pertanian, Perhutanan dan Perikanan sebanyak 75 peratus iaitu 3,888 orang) pekerja asing berbanding dengan 25 peratus (1,263 orang) pekerja tempatan.

Sementara itu, kongsi Yang Berhormat, bagi Sektor Lain-lain Aktiviti Perkhidmatan sebanyak 69 peratus (2,877 orang) pekerja asing berbanding dengan 31 peratus (1,291 orang) pekerja tempatan manakala, Sektor Aktiviti Penginapan dan Perkhidmatan Makanan sebanyak 67 peratus (13,938 orang) pekerja asing berbanding dengan 33 peratus (6,953 orang) pekerja tempatan.

Sektor Pembuatan pula, ujar Yang Berhormat, sebanyak 63 peratus (8,272 orang) pekera asing berbanding dengan 37 peratus (4,962 orang) pekerja tempatan.

“Analisis menunjukkan bahawa 22 peratus (4,224 orang) daripada jumlah 19,183 pekerja tempatan memegang jawatan di peringkat pengurusan, sebagai pengarah syarikat, ‘managing director’ dan ‘general manager’, manakala 38 peratus (19,051 orang) daripada 50,586 pekerja asing tertumpu kepada pekerjaan di peringkat perburuhan.

“Oleh itu, walaupun masih terdapat ruang untuk meningkatkan penyertaan tenaga kerja tempatan, pendekatan yang diambil tidak boleh berasaskan penggantian pekerja asing secara langsung semata-mata. Sebaliknya, ia perlu mengambil kira kesediaan tenaga kerja tempatan, kesesuaian kemahiran serta usaha meningkatkan kualiti pekerjaan yang ditawarkan,” kata Yang Berhormat pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Ke arah itu tekan Yang Berhormat, Kerajaan memberikan tumpuan kepada tiga strategi utama. Pertama ujar Yang Berhormat, strategi mengutamakan pengambilan anak tempatan melalui penelitian permohonan Clearance Letter dan perkhidmatan pemadanan pekerjaan oleh Pusat Pekerjaan Brunei.

Manakala kedua tambah Yang Berhormat, strategi membangunkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri. Kongsi Yang Berhormat, sejak pelaksanaannya pada tahun 2017 hingga 30 Jun 2026, Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan telah memperkenalkan 17 program pembangunan tenaga manusia dalam bidang seperti HSE, perakaunan, sumber manusia dan ‘allied health’.

Program-program ini telah disertai oleh seramai 16,158 orang anak tempatan yang terdiri daripada 15,230 orang pencari kerja dan 928 adalah mereka yang sudah bekerja.

“Alhamdulillah, dari jumlah 15,230 orang pencari kerja tempatan tersebut, seramai 13,839 orang telah menamatkan program-program berkenaan, manakala 1,391 orang selebihnya masih aktif menjalani program-program yang dijalankan.

“Dari jumlah 13,839 orang yang telah tamat program-program berkenaan. Seramai 8,290 orang (atau 60 peratus) telah memperoleh pekerjaan; 317 orang lagi (atau 2 peratus) sedang melanjutkan pengajian tinggi; 2,884 orang (atau 21 peratus) masih aktif mencari pekerjaan melalui portal Pusat Pekerjaan Brunei,” jelas Yang Berhormat.

Manakala, 2,348 orang (atau 17 peratus) selebihnya tidak mempunyai rekod pekerjaan terkini di Tabung Amanah Pekerja; rekod pencarian pekerjaan terkini di Pusat Pekerjaan Brunei; mahu pun kemasukan (enrollment) terkini di dalam institusi pengajian tinggi tempatan, pembiayaan biasiswa keluar negeri, atau Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan tambah Yang Berhormat lagi.

Sementara itu ketiga kata Yang Berhormat, strategi menyediakan dasar gaji minimum di sektor swasta. Pihak Kerajaan telah melaksanakan Perintah Pekerjaan iaitu Upah Minimum) secara berperingkat sebagai langkah untuk mengelakkan para pekerja dalam sektor-sektor tertentu dibayar gaji yang terlalu rendah.

Pelaksanaan dasar ini jelas Yang Berhormat akan diteliti dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaan fasa seterusnya mengambil kira pengajaran dan iktibar daripada Fasa 1 dan Fasa 2, serta diperkukuhkan agar pelaksanaannya lebih berkesan dan selaras dengan impak yang dihasratkan.

“Secara keseluruhannya, strategi kerajaan adalah untuk memberikan keutamaan yang lebih strategik kepada tenaga kerja tempatan, sambil memastikan keperluan tenaga kerja industri terus dipenuhi dan produktiviti negara tidak terjejas.

“Kejayaan tidak hanya akan diukur berdasarkan peratus pekerja tempatan, tetapi juga melalui peningkatan kadar penempatan dan pengekalan pekerjaan, tahap kemahiran, produktiviti, pendapatan serta bilangan anak tempatan yang berjaya membina kerjaya mampan dalam sektor-sektor utama negara. InsyaaAllah, strategi-strategi berkenaan akan diteliti keberkesanannya dari semasa ke semasa,” jelas Yang Berhormat.