SSDP platform melahirkan pemimpin cemerlang

9 Og 2026 - 9:35am

Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Penganugerahan Biasiswa Sultan's Scholar bertujuan untuk melahirkan pemimpin yang cemerlang, menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara serta menjadi generasi penerus yang akan membarisi tampuk kepimpinan bagi kepentingan ugama, raja dan negara.  

Bagi melengkapkan para graduan Sultan's Scholar dengan pengetahuan dan pengalaman supaya mereka sentiasa siap siaga memikul tanggungjawab dan menempuhi cabaran negara serta global secara positif, berdaya tahan dan berdaya maju, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) mengendalikan Program Perkembangan Sultan's Scholars atau Sultan's Scholars Development Programme (SSDP).

Program berkenaan melibatkan para penerima Anugerah Biasiswa Sultan's Scholar yang sedang menuntut dan para alumni yang sedang berkhidmat baik di sektor kerajaan mahupun swasta.

SSDP 2026 kali ini disertai seramai 12 peserta yang terdiri daripada sembilan penuntut dan tiga alumni.

Sehubungan itu, Majlis Penutup SSDP 2026 telah diadakan pagi tadi bertempat di Mutiara Ballroom, Radisson Hotel, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penutup berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB.

Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Penolong Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman, selaku Pemangku Pengarah Urusan YSHHB.

Acara diteruskan dengan penyampaian taklimat daripada wakil-wakil peserta yang telah pengikuti SSDP 2026 dan penyampaian sijil kepada para peserta oleh tetamu kehormat majlis.

Terdahulu, para peserta juga berkesempatan untuk mengongsikan pengalaman dan hasil dapatan daripada program yang telah disertai.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Juga hadir, Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB;  Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB;  Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Yip Wei Kiat; serta pegawai-pegawai kanan kerajaan, dan pegawai-pegawai kanan dari YSHHB serta para jemputan khas.

Pada tahun ini, SSDP mengandungi dua komponen, iaitu Fasa NBD dan Fasa Republik Singapura.

SSDP 2026 Fasa NBD telah dijalankan bermula pada Selasa, 28 Julai 2026 hingga Sabtu, 1 Ogos 2026. Program berkenaan melibatkan sesi taklimat dan penerangan oleh agensi-agensi kerajaan bagi memberikan kefahaman kepada para peserta mengenai tugas dan peranan agensi-agensi berkenaan serta isu dan cabaran yang berkaitan. 

Manakala SSDP 2026 Fasa Republik Singapura pula telah dilaksanakan dengan kerjasama dari Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura di NBD dan Civil Service College (CSC), Republik Singapura. Program telah berjalan selama lima hari bermula Isnin, 3 Ogos 2026 hingga Jumaat, 7 Ogos 2026.