SRM tekankan kepentingan kerjasama serantau membanteras ekstremisme

25 Okt 2026 - 8:27am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Perdana Menteri

JAKARTA, REPUBLIK INDONESIA, Sabtu, 24 Oktober. - Cabaran keselamatan serantau dan global, terutamanya ancaman keganasan, migrasi tidak teratur, keselamatan siber dan jenayah rentas sempadan adalah antara perkara utama yang dibincangkan semasa Mesyuarat Sub-Regional Meeting on Counter Terrorism and Transnational Security (SRM) Kali Ke-7 yang diadakan di The Ritz-Carlton Jakarta, Mega Kuningan, Jakarta, Republik Indonesia pada hari ini.

Delegasi Negara Brunei Darussalam (NBD) ke mesyuarat berkenaan diketuai oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

Turut hadir, Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Abdul Razak bin Haji Abdul Kadir; Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Undang-Undang), JPM, Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad; serta pegawai-pegawai kanan dari JPM.

Mesyuarat SRM Kali Ke-7 telah dipengerusikan bersama oleh Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum, dan Keamanan, Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Jeneral (B) Dudung Abdurachman; dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Menteri Seni, Menteri Keselamatan Siber, Menteri Imigresen dan Kewarganegaraan Australia, Yang Berhormat Tony Burke MP.

Turut menyertai mesyuarat tahun ini ialah menteri dan pegawai kanan dari Malaysia, New Zealand, Republik Filipina, Republik Singapura dan Thailand.

Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan ll menekankan kedudukan dan dasar NBD dalam mengekalkan hubungan persahabatan dengan semua negara demi memelihara keamanan dan keselamatan rantau ini.

Yang Berhormat turut menekankan kepentingan kerjasama serantau dalam SRM bagi menangani isu keganasan dan ekstremisme di rantau ini.

Berkaitan perkara ini kata Yang Berhormat lagi, NBD dan Malaysia akan menjadi Pengerusi Bersama bagi 'Senior Officials’ Counter-Terrorism Policy Forum' di bawah SRM pada tahun hadapan.

Yang Berhormat seterusnya berkongsi usaha NBD dalam memerangi migrasi tidak teratur, khususnya pemerdagangan orang.

Baru-baru ini tambah Yang Berhormat lagi, kedudukan NBD dalam Laporan Pemerdagangan Orang Amerika Syarikat telah dinaikkan taraf selama dua tahun berturut-turut, iaitu ke tahap 'Tier 2 Watch List' pada 2025 dan ke tahap 'Tier 2 ' pada tahun ini.

Kemudian, delegasi yang diketuai oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan ll turut mengadakan kunjungan hormat dengan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Menteri Seni, Menteri Keselamatan Siber, Menteri Imigresen dan Kewarganegaraan Australia.

Semasa kunjungan hormat berkenaan, kedua-dua buah negara menzahirkan rasa puas hati terhadap hubungan dan kerjasama yang telah lama terjalin dalam pelbagai bidang, khususnya bidang keselamatan.

Kedua-dua buah negara turut membincangkan jalan untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam perkara yang mempunyai kepentingan bersama, termasuk keselamatan sempadan dan keselamatan siber.