Sokongan masyarakat penting dalam proses pemulihan penyalahgunaan dadah

25 Okt 2026 - 8:23am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BERAKAS, Sabtu, 24 Oktober. - Biro Kawalan Narkotik (BKN) melalui Divisyen Rawatan dan Pemulihan (DRP) menganjurkan Sambutan Hari Pemulihan Antarabangsa 2026 bertemakan ‘Sinar Menuju Pemulihan, Bersama Komuniti’ selama dua hari pada 24 hingga 25 Oktober 2026, bertempat di Sports Hub, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, dari pukul 9.00 pagi hingga 9.00 malam.

Sambutan berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pemulihan serta menggalakkan penglibatan keluarga, golongan belia, rakan kerjasama dan komuniti dalam mewujudkan persekitaran yang prihatin, inklusif dan menyokong individu yang sedang menjalani proses pemulihan daripada penyalahgunaan dadah.

Bagi menyemarakkan sambutan tahun ini, tiga inisiatif utama telah dilaksanakan, iaitu 2 Million Steps for Recovery, One Sip, One Step dan Recovery Cup 2026, yang masing-masing mengetengahkan kepentingan gaya hidup sihat, penyebaran mesej kesedaran serta pengukuhan hubungan sosial dalam masyarakat.

Cabaran 2 Million Steps for Recovery yang berlangsung dari 1 Julai hingga 30 September 2026 telah berjaya menarik penyertaan seramai 18,056 peserta, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 3,614,677,421 langkah direkodkan.

Inisiatif berkenaan bertujuan menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat, di samping menyemai semangat solidariti terhadap individu yang sedang menjalani proses pemulihan.

Sementara itu, pertandingan One Sip, One Step dengan slogan ‘Seteguk Harapan, Bersama Melangkah Ke Hadapan’ melibatkan 22 pengusaha kopi tempatan dalam usaha menyebarluaskan mesej kesedaran mengenai pemulihan melalui penggunaan pelekat khas pada cawan minuman.

Manakala, pertandingan Recovery Cup 2026 yang berlangsung pada 11 Oktober 2026 di Kompleks Sukan Tutong menyaksikan penyertaan lapan pasukan yang mewakili agensi kerajaan, sektor swasta dan persatuan.

Pertandingan berkenaan mengetengahkan sukan sebagai wadah untuk memupuk semangat berpasukan, disiplin, interaksi positif dan perpaduan, sekali gus menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan sosial dalam kalangan peserta.

Sehubungan itu, acara kemuncak sambutan berkenaan diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’, diikuti bacaan Surah Al-Fatihah dan ucapan alu-aluan oleh Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Paduka Awang Haji Mohd. Zalani bin Haji Ismail, merangkap Pengarah BKN.

Dalam ucapannya, Dato Paduka Awang Haji Mohd. Zalani menegaskan komitmen berterusan BKN dalam memperkukuh pelaksanaan program rawatan dan pemulihan dadah secara holistik dan komprehensif bagi membantu individu dalam pemulihan membina semula kehidupan serta mengurangkan risiko kejatuhan semula.

Beliau turut menekankan bahawa kejayaan proses pemulihan memerlukan sokongan berterusan daripada keluarga, masyarakat dan pelbagai pihak berkepentingan, khususnya dalam memupuk penerimaan masyarakat serta memudahkan integrasi semula individu ke dalam masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar semangat ‘Sinar Menuju Pemulihan, Bersama Komuniti’ terus diterapkan bagi memperkukuh sokongan terhadap usaha pemulihan, memberikan peluang kepada individu untuk membina kehidupan yang lebih baik serta menyumbang kepada usaha membanteras penyalahgunaan dadah di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Majlis turut dimeriahkan lagi dengan pelbagai persembahan dan aktiviti untuk pengunjung, antaranya persembahan koir oleh Sekolah Rendah Awang Haji Mohd. Yusof Katimahar, iaitu pemenang Pertandingan Koir bagi Sekolah-sekolah Rendah sempena Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram 2026.

Turut dipersembahkan ialah nyanyian lagu ‘Pulih Bersama’ oleh bekas residen Pusat Al-Islah dan Orang Yang Di Bawah Pengawasan (OYDP), persembahan ‘live band’ oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), pertunjukan silap mata dan belon, aktiviti Anex Pound oleh Hershey, latihan Tabata dan litar oleh United Abilities Football Academy serta permainan karnival oleh Cosmo.

Pelbagai aktiviti lain turut disediakan, termasuk melukis muka, seni inai, kraf tangan, serta aktiviti melukis dan mewarna.

Pada majlis berkenaan, tetamu kehormat seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang cabaran 2 Million Steps for Recovery bagi Kategori Lelaki dan Kategori Perempuan.

Bagi Kategori lelaki, Lim Chun Kiat muncul sebagai juara, diikuti Pengiran Dahlan bin Pengiran Dahari selaku naib juara, manakala Awang Mohammad Alisharizal bin Haji Awang Sabli menduduki tempat ketiga.

Bagi Kategori Perempuan pula, Dayang Hajah Naemah binti Haji Mohammad dinobatkan sebagai juara, diikuti Dayang Ramizah binti Haji Razali di tempat naib juara, sementara Dayang Nurul Hafizah binti Maidi berada di tempat ketiga.

Penyampaian hadiah turut diberikan kepada tiga pemenang pertandingan One Sip, One Step, iaitu Kohi Specialty muncul sebagai juara, diikuti Oui Boutique Cafe selaku naib juara, manakala Coffee by 7T1 berada di tempat ketiga.

Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada para penaja sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan sumbangan mereka dalam menjayakan sambutan berkenaan.

Selain menjadi platform kesedaran, sambutan berkenaan turut menyediakan ruang kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan dan usaha-usaha berkaitan pemulihan yang ditawarkan oleh Pusat Al-Islah, Bahagian Pengawasan serta Rakan Harmoni.

BKN turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik, Momentum Misi Platform Belia, serta para penaja yang telah memberikan sokongan dalam menjayakan sambutan berkenaan, iaitu Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), DCON Sdn. Bhd., Armada Properties, Hua Ho Department Store, Adinin Works & Engineering Sdn. Bhd., Masshor Group of Companies, OneCity Shopping Centre, EVYD Technology Sdn. Bhd., The Rizqun International Hotel, Aewon Brunei, Express dan Jollibee Brunei.

Sambutan Hari Pemulihan Antarabangsa 2026 bukan sahaja menandakan kemuncak kepada rangkaian aktiviti yang telah dilaksanakan, malah mencerminkan bagaimana usaha pemulihan dapat diperkasa melalui tindakan dan penglibatan bersama.

Selaras dengan tema ‘Sinar Menuju Pemulihan, Bersama Komuniti’, BKN berharap agar semangat yang dibina menerusi sambutan berkenaan akan terus diterjemahkan dalam kehidupan seharian, bukan hanya sepanjang sambutan berlangsung.

Kerana di sebalik setiap perjalanan pemulihan, terdapat harapan untuk masa depan yang lebih baik dan sebuah komuniti yang memahami, menerima serta memberi peluang boleh menjadi sebahagian daripada sinar yang menerangi perjalanan berkenaan.