Atlet negara diseru pamer semangat kesukanan tinggi

25 Okt 2026 - 8:37am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

 

BERAKAS, Sabtu, 24 Oktober. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam bersabda menzahirkan ucapan tahniah kepada para atlet yang terpilih untuk mewakili negara pada Kejohanan Sukan Belia Olimpik Ke-4 (4th Youth Olympic Games) 2026, yang akan diadakan di Dakar, Senegal.

Dalam sabda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah mengucapkan tahniah terutamanya juga bagi atlet sukan wusyu, Dayang Lauren Emily Chua, yang telah pun berjaya untuk melayakkan diri bagi acara Taolu, iaitu Taijishan dan Taijiquan dalam sukan wusyu di 4th Youth Olympic Games Dakar 2026.

Pencapaian atlet sukan wusyu ini sabda Duli Yang Teramat Mulia, telah menunjukkan kegigihan atlet, jurulatih dan Persatuan Wusyu, dalam memajukan sukan wusyu ke peringkat Sukan Antarabangsa seperti Youth Olympic Games.

DYTM bersabda demikian pada Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Kejohanan Sukan Belia Olimpik Ke-4 (4th Youth Olympic Games) 2026, Dakar, Senegal yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini.

Sementara itu tambah sabda DYTM, bagi atlet sukan renang, Danniel Chan, dan atlet sukan olahraga, Awang Md. Nazrul Putera bin Faeiz Firdaous, nama mereka telah pun disenaraikan dalam Universality Quota International Olympic Committee (IOC), melalui World Aquatic bagi Sukan Renang, dan World Athletic bagi Sukan Olahraga, untuk menyertai 4th Youth Olympic Games Dakar 2026.

Universality Quota ini sabda DYTM, adalah diberikan oleh IOC melalui World Aquatic dan World Athletic, kepada negara-negara keahlian IOC yang tidak mempunyai atlet yang berkelayakan, untuk menyertai 4th Youth Olympic Games Dakar 2026 bagi acara renang dan olahraga.

“Inilah matlamat IOC, yang menginginkan semua negara di dunia yang bergabung dengan IOC, untuk sama-sama menyertai Youth Olympic Games, tanpа mengambil kira bangsa, agama, budaya, dan jantina.

“Disinilah kita boleh menyaksikan bahawa, sukan itu adalah bersifat universal, yang menyatukan warga dunia dalam bersaing sama rata, bagi acara masing-masing, tanpa batasan,” sabda DYTM lagi.

DYTM dalam sabdanya juga mengharapkan agar semua atlet kebangsaan di Negara Brunei Darussalam (NBD), samada remaja maupun dewasa, termasuk jurulatih dan Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan, untuk sentiasa berusaha dengan lebih gigih, agar atlet-atlet akan dapat melayakkan diri atau ‘qualified’.

DYTM menegaskan keutamaan dan tumpuan hendaklah diberikan kepada proses melayakkan diri, atau ‘qualification’, dan bukannya hanya sekadar mengharapkan Universality Quota, samada di Summer Youth Olympic Games, ataupun Summer Olympic Games.

Para atlet yang akan menyertai 4th Youth Olympic Games Dakar 2026 juga diseru supaya berjuang dengan penuh keyakinan, kesungguhan dan keazaman, serta semangat kesukanan yang tinggi.

Mereka perlu memanfaatkan peluang dan kepercayaan yang telah diberikan, untuk mempamerkan kemampuan serta memberikan saingan yang terbaik, demi mengharumkan nama NBD di persada antarabangsa.

DYTM seterusnya mengingatkan bahawa penyertaan 4th Youth Olympic Games Dakar 2026, adalah merupakan satu penghormatan, dan pengalaman yang amat berharga, memandangkan Youth Olympic Games adalah salah satu temasya sukan remaja terbesar di dunia, yang dianjurkan oleh International Olympic Committee (IOC).

“Oleh itu, bertandinglah dengan penuh keyakinan, dan semangat kesukanan, sambil menjaga nama baik negara pada setiap masa. Buktikanlah bahawa atlet-atlet remaja NBD, juga mampu bersaing dengan penuh keberanian, ketabahan dan semangat juang yang tinggi.

“Semoga setiap usaha, pengorbanan dan perjuangan yang diberikan atlet-atlet, akan menjadi kebanggaan kepada negara, serta menjadi inspirasi kepada generasi atlet-atlet muda yang akan datang,” sabda DYTM lagi.

Terdahulu, DYTM dalam sabda merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan di atas sokongan yang diberikan kepada Majlis Olimpik Kebangsaan NBD.

Pada edisi Youth Olympic Games kali ini, NBD akan menghantar kontinjen seramai lapan orang, yang terdiri daripada seorang Chef de Mission, seorang orang pegawai urus setia, dan tiga orang jurulatih, dan tiga orang atlet dalam tiga acara sukan, iaitu sukan wusyu (Atlet Perempuan - Dayang Lauren Emily Chua), sukan olahraga (Atlet Lelaki - Awang Md. Nazrul Putera bin Faeiz Firdaous) dan Sukan Renang (Atlet Lelaki - Awang Danniel Chan).