Oleh : Aimi Sani
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor/ Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
JERUDONG, Sabtu, 24 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat ke Majlis Meraikan Ulang Tahun Hari Puja Usia Baginda Ke-80 yang disembahkan oleh Kumpulan Isteri-isteri Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli Bersekutu.
Majlis berkenaan telah diadakan di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.
Juga berangkat sama ke majlis tersebut, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam binti Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha telah dijunjung oleh isteri Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll, Datin Dayang Hajah Kalshom binti Haji Suhaili, selaku Pengerusi I Kumpulan Isteri; dan isteri Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Datin Paduka Dr. Hajah Dayang Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil, selaku Pengerusi II Kumpulan Isteri, bersama isteri-isteri menteri-menteri dan timbalan menteri.
Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri bersama kerabat diraja yang lain dijunjung bagi mengabadikan gambar kenangan bersama ahli-ahli kumpulan.
Datin Dayang Hajah Kalshom, bagi pihak Kumpulan Isteri, dalam sembah alu-aluannya antara lain merafakkan setinggi-tinggi sembah junjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri atas limpah kurnia perkenan baginda berangkat ke Majlis Sambutan Hari Puja Usia baginda yang Ke-80.
Dalam sembah, Datin Hajah Kalshom turut mendoakan agar baginda sentiasa dikurniakan nikmat usia yang berkat, sihat, selamat, aman dan bahagia, serta istiqamah dalam amal ibadah dan amal kebajikan bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Datin Hajah Kalshom seterusnya menyembahkan bahawa Kumpulan Isteri telah menganjurkan beberapa aktiviti sepanjang tahun yang merangkumi pelbagai upacara keagamaan seperti acara membaca Al-Quran yang disusuli oleh Majlis Khatam Al-Quran, acara Sembahyang Sunat Hajat dan Majlis Doa Selamat serta Kesyukuran.
Seterusnya, Datin Hajah Kalshom turut menyembahkan bahawa sambutan pada tahun ini mempunyai keistimewaan tersendiri sempena baginda meniti usia 80 tahun. Seramai 80 orang anak yatim telah dijemput untuk ikut serta dalam acara membaca dan mengkhatam Al-Quran sebanyak 80 kali, dan seterusnya bersama-sama dengan ahli-ahli Kumpulan Isteri dalam Sembahyang Sunat Hajat.
Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri seterusnya berkenan memotong kek dan menerima pesambah daripada Kumpulan Isteri.
Juga disembahkan pada majlis berkenaan ialah sebuah buku foto khas bertajuk ‘Kenangan Bersama’ terbitan Kumpulan Isteri sempena Hari Puja Usia baginda yang Ke-80.
Buku berkenaan menghimpunkan rakaman gambar Sambutan Hari Puja Usia baginda bersama Kumpulan Isteri sepanjang tiga dekad, yang disusun mengikut tahun, termasuk gambar-gambar daripada album peribadi ahli-ahli Kumpulan Isteri.
Buku berkenaan dipersembahkan dengan penuh kasih dan taat setia sebagai kenang-kenangan abadi bagi 30 tahun kenangan indah Kumpulan Isteri bersama baginda.
Majlis kemudian diikuti dengan beberapa persembahan, termasuk dua buah lagu yang dipersembahkan oleh ahli-ahli Kumpulan Isteri, iaitu ‘Dirgahayu Duli Raja Isteri’, ciptaan dan lirik oleh Awang Norhidayat bin Haji Ahim; dan ‘Puja Usia Mutiara Singgahsana’, ciptaan dan lirik oleh Pengiran Abdul Farid bin Pengiran Idrus.
Kedua-dua lagu berkenaan telah memenangi tempat pertama dan kedua dalam Pertandingan Penerbitan Lagu bersempena Hari Puja Usia Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri anjuran Radio Televisyen Brunei (RTB).