Oleh : Khartini Hamir
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BERAKAS, Sabtu, 24 Oktober. - Semua atlet dan pegawai yang akan ke 4th Youth Olympic Games Dakar 2026 diingatkan untuk sentiasa menjaga disiplin, serta mengikut apа jua peraturan dan garis pandu, yang ditetapkan oleh pihak penganjur, serta sentiasa menjauhkan diri daripada bahan terlarang, dengan mematuhi segala akta peraturan yang dikuatkuasakan oleh World Anti Doping Agency (WADA).
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam bersabda menegaskan demikian pada Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Kejohanan Sukan Belia Olimpik Ke-4 (4th Youth Olympic Games) 2026, Dakar, Senegal yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah turut menekankan kepada semua pegawai dan jurulatih kontinjen untuk sentiasa memberikan dan memastikan keutamaan dalam aspek Safeguarding Athlete, kerana kebajikan, keselamatan, dan kesejahteraan para atlet adalah aspek yang amat dititikberatkan oleh Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, dan hendaklah diberikan keutamaan di sepanjang Youth Olympic Games, sama seperti yang tercatat dalam Olympic Charter, Peraturan 2.19, di mana adalah menjadi mandat kepada IOC, untuk mengutamakan sukan yang selamat, dan melindungi atlet daripada semua bentuk gangguan dan penderaan.
Menurut sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi, walaupun kali ini kontinjen negara hanya tersenarai seorang atlet perempuan, namun penyertaannya adalah sangat penting. Ini menunjukkan bahawa komitmen berterusan negara, dalam menyokong penglibatan wanita bersukan secara inklusif, dan memacu pemerkasaan ataupun ‘empowering’ wanita bagi masa depan.
DYTM dalam sabdanya juga memaklumkan Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC), telah terpilih bagi mengikuti Program Tajaan Pakaian Sukan, daripada Association of National Olympic Committee (ANOC), melalui perjanjian Tajaan ANOC bersama PEAK Company China.
“Dalam program ini, PEAK Company China akan membekalkan BDNOC termasuk Kontinjen Negara, dengan beberapa pakaian sukan termasuk beg sukan di semua sukan di bawah IOC, bermula dari 4th Youth Olympic Games Dakar 2026, sehingga Summer Olympic Games Brisbane 2032,” sabda DYTM.
Sehubungan itu turut dimaklumkan bahawa PEAK Company China telah menyediakan satu reka bentuk ataupun ‘design’ pakaian, yang diperuntukan kepada BDNOC dan kontinjen bagi 4th Youth Olympic Games Dakar 2026.
Manakala pada tajaan yang berikutnya, seperti Summer Olympic Games LA 2028, PEAK Company China akan menyediakan beberapa reka bentuk ataupun ‘design’ untuk BDNOC memilihnya.
DYTM dalam sabdanya melahirkan ucapan terima kasih kepada ANOC dan PEAK Company China, di atas tajaan yang telah diberikan kepada BDNOC sehingga Summer Olympic Games Brisbane 2032, dan juga kepada Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan, serta ibu bapa yang terlibat, kerana sentiasa memberikan sokongan, dorongan dan komitmen yang berterusan kepada atlet-atlet yang akan menyertai 4th Youth Olympic Games Dakar, Senegal 2026.
Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam turut mendoakan semoga kontinjen negara yang terdiri daripada atlet-atlet, jurulatih dan pegawai, akan sentiasa sehat walafiat, dan dalam peliharaan Allah Subhanahu Wata'ala.