Berita dan Foto : Ihsan Abu Bakar Haji Mohd. Alli
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 26 Julai. – Persekutuan Brunei Darussalam Amateur Radio Association (BDARA) menganjurkan Special Event Radio Station sebagai acara tahunan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, Ketua Kampong Belimbing, Subok.
Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat, Negara Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Penghulu Mukim Lumapas, selain kira-kira 50 ahli BDARA termasuk jemputan yang terdiri daripada Ketua Kampung Lambak 'A' dan Ketua Kampung Lambak 'B'.
Majlis tersebut dipengerusikan oleh Mejar (B) Haji Tamat bin Haji Lampoh.
Aktiviti Special Event Radio Station bertujuan menyebarluaskan kepada komuniti amatur radio di seluruh dunia mengenai lima dekad pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang berpaksikan konsep Melayu Islam Beraja (MIB), di samping mengetengahkan kejayaan baginda menyatupadukan rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama dalam suasana aman dan makmur.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi Majlis menjelaskan bahawa penganjuran aktiviti tersebut merupakan platform untuk memperkenalkan kepada masyarakat antarabangsa mengenai kepimpinan berwawasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang telah memimpin negara selama lima dekad berlandaskan falsafah MIB.
Beliau turut menyifatkan kepimpinan baginda sebagai unik dan berjiwa rakyat, yang sentiasa mengutamakan perpaduan, keamanan serta kesejahteraan rakyat dan negara.
Bagi pihak Persekutuan BDARA, beliau turut merafakkan sembah setinggi-tinggi tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Ke-80, disertai doa semoga Allah Subhanahu Wata'ala mengurniakan baginda kesihatan yang berpanjangan, kesejahteraan serta kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam (NBD).
Menyentuh mengenai perancangan masa depan, beliau memaklumkan bahawa BDARA sedang merancang untuk memperluaskan keahlian dalam kalangan belia dan beliawanis, khususnya para penuntut, melalui kerjasama dengan Persekutuan Pengakap NBD.
Beliau turut menegaskan bahawa sebagai sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang aktif dalam kegiatan kemasyarakatan, BDARA akan terus bekerjasama dengan NGO-NGO lain dalam menyokong usaha kerajaan ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.