SMSUA raikan 88 pelajar Khatam Al-Quran

7 Og 2026 - 7:08am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Ihsan Ahli Jawatankuasa Majlis Khatam Al-Quran Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. - Seramai 88 pelajar Tahun 11, Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab (SMSUA) diraikan dalam satu majlis penuh keberkatan iaitu Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Serbaguna sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Majlis tersebut turut menyerlahkan penghayatan warga sekolah terhadap kepentingan menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan, khususnya dalam membentuk generasi berilmu, berakhlak dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Kampung Kasat, Awang Haji E’riffin bin Haji Mohd. Yussof, yang seterusnya memimpin bacaan Surah Al-Fatihah sebagai pembuka majlis.

Para peserta khatam Al-Quran kali ini terdiri daripada 34 pelajar lelaki dan 54 pelajar perempuan, yang bersama-sama mendengarkan bacaan bermula daripada Surah Ad-Duha hingga Surah An-Nas pada majlis berkenaan.

Suasana majlis kemudiannya diserikan dengan bacaan Takhtim oleh pelajar-pelajar perempuan Tahun 9 dan 10, sementara Dikir Marhaban pula dipersembahkan oleh pelajar-pelajar lelaki Tahun 9 dan 10.

Acara turut diselajurkan dengan upacara merenjis minyak wangi oleh tetamu kehormat sebelum beliau menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta Khatam Al-Quran.

Doa Khatam Al-Quran dipimpin oleh Ahmad Izhar bin Haji Marsidi, pelajar Tahun 11 Science 2, manakala Doa Selamat dibacakan oleh tenaga pengajar SMSUA, Pengiran Haji Suhaimi bin Haji Sulong.

Majlis berkenaan bukan sahaja menjadi wadah bagi meraikan kejayaan para pelajar menyempurnakan bacaan Al-Quran, malah menjadi landasan untuk menyemai kecintaan terhadap Al-Quran serta mengukuhkan penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan generasi muda.

Adanya majlis sedemikian diharap akan terus menyuburkan kecintaan para pelajar terhadap Al-Quran, seterusnya diterjemahkan dalam kehidupan seharian sebagai insan yang berilmu, beramal dan berakhlak mulia.