Sistem pendidikan, latihan negara perlu terus responsif terhadap perubahan

6 Og 2026 - 4:45am

Oleh : Nurhamiza Haji RoslanFoto : Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Pendidikan dan pembangunan modal insan merupakan antara asas utama dalam menjayakan Wawasan Brunei 2035. Oleh itu, sistem pendidikan dan latihan negara perlu terus responsif terhadap perubahan dunia, perkembangan teknologi serta keperluan ekonomi masa hadapan.

Perkara ini digariskan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial@Tekpin bin Ya’akub, Penghulu Mukim Ukong pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan pendidikan bukan hanya perlu melahirkan individu yang mempunyai kelulusan, tetapi juga individu yang mempunyai kemahiran yang relevan, mampu berfikir secara kritis dan kreatif, berkeupayaan menyelesaikan masalah, menyesuaikan diri dengan perubahan serta mempunyai semangat kepimpinan dan keusahawanan.

Dalam masa yang sama, jelas Yang Berhormat lagi, pembangunan ilmu dan kemahiran hendaklah terus berlandaskan nilai agama, akhlak dan identiti kebangsaan.

Sehubungan itu, penyelarasan antara institusi pendidikan, pusat latihan kemahiran, kementerian berkaitan dan sektor industri perlu terus diperkukuhkan supaya program pendidikan dan latihan mempunyai hubungan yang jelas dengan keperluan tenaga kerja, pembangunan industri dan hala tuju ekonomi negara, terang Yang Berhormat.

Yang Berhormat menekankan kejayaan sesuatu program tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah peserta atau sijil yang dikeluarkan tetapi juga melalui hasil seperti peningkatan kemahiran, kebolehpasaran, peluang pekerjaan, produktiviti dan keupayaan peserta menyumbang kepada pembangunan negara.

Dengan itu, aspirasi yang digariskan melalui titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dapat diterjemahkan daripada dasar kepada tindakan, daripada tindakan kepada hasil dan daripada hasil kepada manfaat yang nyata, ujar Yang Berhormat.

Menurut Yang Berhormat lagi, kemajuan negara pada masa ini turut dipengaruhi oleh perkembangan teknologi digital. Penggunaan teknologi seperti Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI), Internet Kebendaan atau Internet of Things (IoT), analisis data dan sistem digital hendaklah dimanfaatkan untuk meningkatkan kecekapan, memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta menyokong pembuatan keputusan yang lebih tepat.

Yang Berhormat menyatakan teknologi tidak seharusnya dilaksanakan hanya untuk mengikuti perkembangan semasa. Beliau menjelaskan setiap penggunaan teknologi perlu menjawab persoalan : Apakah masalah yang dapat diselesaikan?

Apakah perkhidmatan yang dapat dipercepatkan? Bagaimanakah teknologi dapat meningkatkan produktiviti dan kecekapan? Dan apakah manfaat yang dapat dirasai oleh rakyat?

Dalam hubungan ini, perkongsian data antara kementerian dan agensi boleh terus diperkukuhkan secara selamat, terkawal dan bersepadu supaya rakyat tidak perlu mengemukakan maklumat yang sama secara berulang kepada pelbagai agensi.

Yang Berhormat menjelaskan digitalisasi juga dapat membantu mempercepatkan proses perkhidmatan, meningkatkan pemantauan projek, memperkukuh pengurusan aset dan menyediakan data yang lebih tepat bagi tujuan perancangan serta penilaian.

Dalam masa yang sama, ujar Yang Berhormat, keselamatan siber, perlindungan data, etika penggunaan teknologi dan peningkatan kemahiran digital hendaklah diberikan perhatian yang sewajarnya.

Yang Berhormat juga menekankan kemajuan teknologi hendaklah berjalan seiring dengan nilai agama, tanggungjawab dan prinsip Melayu Islam Beraja supaya kemajuan negara bukan sahaja canggih dari segi teknologi, tetapi juga kukuh dari segi nilai, etika dan jati diri.