Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan
BERAKAS, Sabtu, 8 Ogos. - Kementerian Pendidikan melalui Pusat Perkembangan Pendidikan Cerdas Pintar dan Berbakat (EDGE), Jabatan Pendidikan Khas telah menyelaras penyertaan seorang pelajar Tahun 13 bersama seorang pegawai pengiring bagi menghadiri APEC STEM Young Researchers Forum yang akan diadakan pada 10 hingga 15 Ogos 2026 di Pohang University of Science and Technology (POSTECH) serta Sacheon dan Tongyeong, Republik Korea.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat belayar kepada para delegasi ialah Ketua Perkhidmatan Psikologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Khas, Dayang Hajah Nor Amy Hamimah binti Haji Matamit dan Ketua Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pendidikan Khas, Pengiran Omar bin Pengiran Haji Salleh.
Awang Lau Wei Rong, pelajar dari Pusat Tingkatan Enam Belait, telah dipilih untuk menyertai forum berkenaan berdasarkan pemilihan yang dibuat oleh pihak penganjur melalui proses penilaian yang teliti dan kompetitif, susulan penyertaan beliau dalam The 17th APEC Mentoring Research Activity (APEC MRA) yang telah dikendalikan secara dalam talian sejak Januari 2026.
Sepanjang penyertaan ke forum tersebut, Awang Lau Wei Rong akan diiringi oleh Pegawai Pelajaran dari Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Awang Yahuda bin Gelawat.
Forum ini bertujuan untuk melahirkan generasi penyelidik STEM APEC melalui penyediaan peluang menjalankan penyelidikan secara kolaboratif, pertukaran akademik serta pengalaman penyelidikan berasaskan makmal. Di samping itu, forum ini turut bertujuan untuk membina rangkaian kerjasama yang mampan bagi memperkukuh kerjasama saintifik dalam kalangan ekonomi APEC pada masa hadapan.
Semasa forum, pelajar dan pegawai pengiring akan berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan oleh pihak penganjur, antaranya co-research idea pitching, research proposal presentation and feedback serta lawatan ke POHANG Accelerator Laboratory, Korea Aerospace Industries Ltd. (Sacheon) dan Gyeongsangnam-do Fisheries Resources Research Institute (Tongyeong).
APEC STEM Young Researchers Forum merupakan kesinambungan kepada The 17th APEC Mentoring Research Activity (The 17th APEC MRA). Forum ini dianjurkan oleh APEC Mentoring Center for the Gifted in Science (AMGS) dan ASIA Pacific Center for Theoretical Physics (APCTP) yang dihoskan oleh Ministry of Science and ICT, Republik Korea.
Forum ini dibiayai oleh Gyeongsangnam-do Province, Kyungnam University, National Research Foundation of Korea (NRF), Korea Foundation for the Advancement of Science and Creativity (KOFAC) dan Pohang University of Science and Technology (POSTECH).
Selain penyertaan delegasi Negara Brunei Darussalam yang diselaras oleh Kementerian Pendidikan, pihak penganjur turut menjemput seorang Alumni EDGE yang juga merupakan lepasan Tingkatan Enam dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, iaitu Dayang Lee Jing Jing untuk menyertai forum berkenaan. Dayang Lee Jing Jing telah memenangi anugerah teratas bagi Award for Future STEM Leader semasa 2025 APEC Youth STEM Conference.