Semangat kebersamaan asas ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035

4 Og 2026 - 10:26am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Nurhafilah Pg. Osman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Tanggungjawab bersama menuju Wawasan Brunei 2035 menjadi semakin bermakna pada saat negara menghampiri detik gemilang dan bersejarah, iaitu Sambutan Jubli Intan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta. 

Alhamdulillah, di bawah naungan kepimpinan bijaksana, berpandangan jauh, lagi berdaulat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selama enam dekad, negara telah menjalani transformasi pembangunan yang menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat. 

Sehubungan itu, Wawasan Brunei 2035 bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata. 

Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof menegaskan demikian ketika membentangkan Usul Menyokong Penyelarasan ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini. 

Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II berpandangan bahawa semua titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi kaedah pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Nation perlu terus diperkukuh dan diperluaskan, bagi melibatkan seluruh lapisan masyarakat termasuk sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, institusi kepimpinan akar umbi iaitu penghulu, mukim dan ketua kampung, golongan belia, serta setiap rakyat dan penduduk jelata dapat sama-sama menggembleng tenaga ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035. 

Semangat kebersamaan inilah jelas Yang Berhormat, menjadi asas dalam memacu agenda penyelarasan ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035 termasuk melalui penambahbaikan dasar secara berterusan agar negara terus kekal responsif, berdaya tahan dan berdaya saing dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi dan cabaran masa hadapan yang semakin kompleks. 

“Setiap penambahbaikan dasar memerlukan penelitian rapi dan pertimbangan yang menyeluruh bagi memastikan manfaat yang optimum kepada negara dan rakyat. Justeru, penglibatan di peringkat akar umbi juga perlu terus diperkukuhkan agar masyarakat memainkan peranan dalam memastikan pelaksanaan atau penambahbaikan dasar secara inklusif dan berkesan,” tegasnya. 

Dalam hubungan ini terang Yang Berhormat, Perkhidmatan Awam memainkan peranan penting sebagai jentera penggerak dalam mendukung usaha penyelarasan, bagi memastikan setiap dasar, strategi dan keutamaan kerajaan dilaksanakan secara sehaluan, bersepadu dan berkesan, dengan sentiasa mendahulukan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat. 

Kejayaan usaha ini tambahnya, turut bergantung kepada keupayaan Perkhidmatan Awam untuk terus mengadaptasi dengan perubahan, melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti serta berkeupayaan untuk bertindak dengan cepat dan berkesan dalam mendepani perubahan dan cabaran semasa. 

Dengan keupayaan yang kukuh dan semangat tanggungjawab bersama katanya lagi, perkhidmatan awam akan terus memacu pencapaian perkhidmatan yang berkualiti tinggi, responsif dan bermakna serta berimpak tinggi kepada rakyat dan negara. 

Yang Berhormat juga menekankan bahawa kejayaan usaha penyelarasan tidak dapat diukur melalui perancangan semata-mata, tetapi melalui hasil yang dapat dirasai oleh rakyat dan impak yang dapat dilihat pada pembangunan negara, sebagaimana yang dititahkan semasa Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Ke-80 Tahun. 

Sehubungan itu, Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035, Jabatan Perdana Menteri melalui Pejabat Wawasan Brunei akan terus memainkan peranan selaku agensi utama memastikan penyelarasan yang bersepadu antara kluster-kluster Keselamatan Negara, Dasar-Dasar Ekonomi, serta Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia, ke arah pencapaian matlamat yang sama, termasuk inisiatif-inisiatif utama di bawah Manpower Blueprint bagi Matlamat Pertama, Social Blueprint bagi Matlamat Kedua, dan Economic Blueprint bagi Matlamat Ketiga. 

Yang Berhormat juga sukacita mengimbaskan titah Mukadimah Kebawah DYMM, sempena Persidangan Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet Ke-92, di mana baginda bertitah, “…reaksi yang diterima juga menyuarakan harapan terhadap Menteri-Menteri Kabinet yang baharu untuk melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan sebaiknya dan menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding penggal sebelumnya. Sementara itu, sebarang kritikan yang membina hendaklah dijadikan sebagai satu dorongan untuk sentiasa bermuhasabah diri dan sebagai pembakar semangat untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada”. 

Sehubungan itu, Yang Berhormat seraya mengingatkan dan menyeru agar semangat muhasabah diri dan iltizam untuk sentiasa memperbaiki diri ini turut dikongsi bersama oleh seluruh Ahli-ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara, termasuk Ahli-ahli Yang Dilantik selaku penghubung dan penyampai suara rakyat dan mereka di luar sana, untuk terus memainkan peranan yang proaktif dan konstruktif dalam menyokong usaha agenda pembangunan negara. 

“Saya dan juga Menteri-Menteri Berhormat yang lain, dengan rendah hati mengalu-alukan sebarang pandangan dan kritikan yang membina daripada Ahli-ahli Yang Berhormat, kerana ‘input’ atau maklum balas sedemikian bukan sahaja memperkukuh akauntabiliti kerajaan, malah menjadi pemangkin kepada kerajaan bagi mengenal pasti peluang penambahbaikan, menangani cabaran pelaksanaan, serta mempercepatkan pencapaian sasaran-sasaran Wawasan Brunei 2035,” ujarnya. 

Yang Berhormat juga menyeru agar kerajaan dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, berganding bahu bekerjasama dengan penuh semangat kebersamaan dan tanggungjawab, demi merealisasikan Wawasan Brunei 2035 untuk kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara yang sama-sama kita cintai ini berkekalan. 

“InsyaaAllah, dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala jua dan di bawah kepimpinan bijaksana dan berpandangan jauh lagi berdaulat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Raja yang Berdaulat Dikasihi Rakyat, saya bersama-sama Yang Berhormat Menteri-Menteri Penyelaras yang lain akan terus menunaikan amanah ini dengan penuh tanggungjawab dan semangat kerjasama sepasukan, demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035,” ujarnya. 

Di akhir kesempatan itu juga, Yang Berhormat dengan tulus ikhlas menyembahkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah DYMM, serta merafakkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga Kebawah DYMM sentiasa dikurniakan kesihatan, kekuatan serta taufik dan hidayah dalam memimpin barisan Kabinet yang baharu ini khususnya dan negara amnya menuju kejayaan Wawasan Brunei 2035. 

Dengan ini, Yang Berhormat mencadangkan bagi satu Usul berhubung penyelarasan bagi mencapai Wawasan Brunei 2035 untuk dibincangkan di MMN pada mesyuarat kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 2026 ini dan memohon agar Ahli-ahli Yang Berhormat bagi menyokong Usul berkenaan.