Semai rasa cinta, kasih kepada Rasulullah

15 Og 2026 - 6:19am

Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei

GADONG, Jumaat, 14 Ogos. - Badan Ugama Islam (BUI), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), baru-baru ini telah mengadakan Majlis Pembukaan Dikir Syarafil Anam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Surau Polis Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pesuruhjaya Polis, PPDB, Dato Paduka Seri Awang Sulaiman bin Alidin.

Turut hadir menyambut ketibaan tetamu kehormat majlis, Timbalan Penguasa Polis Abdul Hafizazuddin bin Haji Abdul Wahab, selaku Pengerusi BUI.

Juga hadir, para pengarah, timbalan pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai PPDB, ahli-ahli pangkat rendah serta kakitangan awam.

Majlis dimulakan sejurus selepas Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah dengan bacaan Dikir Syarafil Anam sebagai tanda bermulanya pengisian sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah.

Penganjuran majlis berkenaan bertujuan untuk menyemarakkan rasa cinta dan kasih kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di samping menghayati perjuangan, akhlak serta sunnah Baginda sebagai panduan dalam kehidupan seharian dan pelaksanaan tugas.

Melalui penganjuran majlis seumpama berkenaan adalah diharapkan agar ia dapat memperkukuh ukhuwah dalam kalangan warga PPDB di samping menyemai nilai-nilai murni serta meningkatkan penghayatan terhadap ajaran Islam dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.