Semai kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan murid

2 Og 2026 - 6:35am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 1 Ogos. - Majlis Khatam Al-Quran merupakan antara program tahunan yang signifikan di sekolah-sekolah ugama sebagai tanda penghargaan terhadap murid-murid Darjah VI yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 Juzuk Al-Quran, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan generasi berilmu, celik Al-Quran dan berakhlak mulia.

Sehubungan itu, Sekolah Ugama Panchor Murai telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi meraikan seramai 12 peserta khatam yang diadakan di dewan sekolah berkenaan pada petang tadi.

Hadir selaku tetamu khas majlis, Penghulu Mukim Pengkalan Batu, Awang Haji Arfan bin Haji Mohd. Yussof, yang turut memulakan majlis dengan bacaan Surah Al-Fatihah.

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, diikuti dengan bacaan Doa Khatam.

Penyampaian sijil kepada para peserta khatam kemudiannya disempurnakan oleh tetamu khas majlis, yang turut diiringi dengan persembahan Dikir Asyraqal sebelum majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Majlis berkenaan turut menjadi wadah bagi mengeratkan silaturahim antara pihak sekolah dengan ibu bapa dan penjaga, di samping mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memperkukuh pendidikan ugama serta menyemai kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan murid.