Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Nurhafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Penyelarasan dasar yang lebih berkesan menerusi sektor-sektor keutamaan akan terus diperkukuhkan bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara dan merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin berkata pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor bukan minyak dan gas sebanyak 0.7 peratus setahun yang menyumbang kepada pertumbuhan keseluruhan 2.7 peratus bagi tempoh 2015 hingga 2025 masih belum mencukupi.
Menurut Yang Berhormat Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, berbaki kira-kira sembilan tahun sebelum Wawasan Brunei 2035 dicapai, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan melalui sektor-sektor keutamaan, termasuk sektor hiliran minyak dan gas, makanan, pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta sektor perkhidmatan.
Yang Berhormat berkata, usaha mempercepatkan pertumbuhan ekonomi menerusi sektor-sektor tersebut perlu terus dipergiat melalui pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Nation.
“Tugas Menteri Penyelaras bukan untuk mengambil alih peranan kementerian peneraju, sebaliknya memastikan dasar-dasar yang digubal adalah selaras dan menyokong kemajuan sektor-sektor keutamaan,” jelasnya.
Yang Berhormat berkata, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri sentiasa bekerjasama dengan kementerian berkaitan bagi memantau penyelarasan dasar ekonomi.
Menurut Yang Berhormat, di bawah Economic Blueprint, beberapa ‘industry roadmaps’ dan ‘sectoral blueprints’ telah disediakan atau sedang dirangka, antaranya Downstream Oil and Gas Roadmap, Food Industry Roadmap, Tourism Industry Roadmap, Digital Economy Masterplan 2025, ICT Roadmap, Maritime Trade, Logistics and Services Roadmap, Aviation Services Roadmap serta Financial Sector Blueprint.
Yang Berhormat berkata, semua pelan tindakan tersebut menjadi asas kepada penyelarasan dasar yang mampu menyokong pembangunan ekonomi negara secara lebih efektif dan mampan.
Yang Berhormat turut memaklumkan bahawa beberapa kumpulan penyelaras telah diwujudkan di bawah pelan tindakan sedia ada dan dicadangkan diperkukuhkan di peringkat menteri bagi memastikan isu rentas sektor dapat ditangani dengan lebih berkesan.
Menurutnya, kebanyakan isu rentas kementerian melibatkan pelbagai bidang kuasa, dasar dan tanggungjawab yang memerlukan tindakan bersepadu, sekali gus membolehkan keputusan dibuat dengan lebih cepat dan akauntabiliti dikongsi bersama.