Sekolah Ugama YSHHB adakan Majlis Khatam Al-Quran

2 Og 2026 - 7:53am

Oleh : Pg. Syi’aruddin Pg. Dauddin

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BERAKAS, Sabtu, 1 Ogos. - Majlis Khatam Al-Quran di sekolah-sekolah ugama merupakan satu amalan yang signifikan dalam sistem pendidikan ugama di Negara Brunei Darussalam.

Ia bukan sahaja melambangkan pencapaian murid-murid Darjah VI dalam menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran, malah turut menjadi satu bentuk pengiktirafan terhadap usaha gigih mereka dalam mendalami dan menghayati ajaran Islam.

Sehubungan itu, Sekolah Ugama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) petang tadi meraikan seramai 104 orang murid Darjah VI terdiri daripada 59 orang murid lelaki dan 45 orang murid perempuan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan di Dewan Munawwarah, Setia Point, Berakas, di sini.

Antara peserta khatam yang diraikan ialah Yang Mulia Pengiran Muhammad Syafiq Mubarak bin Pengiran Haji Mohamad Ezul, Cucunda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Nor'ain binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien; dan Yang Mulia Pengiran Muhammad Abdul Haadee Mubasheer bin Pengiran Anak Abdul Badee', Cucunda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Nasibah binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.

Hadir ialah  Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri, Yang Arif Awang Haji Hassan bin Haji Metali, dan isteri, Dayang Hajah Harinawati binti Awang Haji Tumar.

Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, diikuti bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, bacaan Takhtim dan Doa Khatam.

Acara kemudiannya diteruskan dengan bacaan Dikir, disusuli penyampaian sijil kepada peserta khatam yang disempurnakan oleh Yang Arif Awang Haji Hassan, dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Majlis antara lain merupakan wadah untuk mendekatkan diri kepada Al-Quran, di mana para pembacanya diberikan ganjaran pahala, dilimpahi rahmat serta keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.