Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei
KAMPUNG SUNGAI AKAR, Ahad, 22 November. - Sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada pelajar-pelajar yang berjaya dalam akademik dan kokurikulum, Sekolah Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB), Kampung Sungai Akar telah mengadakan Majlis konvokesyen dan Penyampaian Anugerah Pencapaian Akademik bagi pelajar Tahun 6 dan Kindergarten (KG) 3 berlangsung di dewan serbaguna sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil dan hadiah kepada para pelajar cemerlang ialah Yang Dipertua PGGMB, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri. Turut hadir ialah para ibu bapa dan penjaga pelajar serta Ahli-ahli Jawatankuasa Sekolah PGGMB Kampung Sungai Akar.
Majlis dimulakan dengan perarakan graduan KG 3 dan Tahun 6, diikuti dengan lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussslam, lagu PGGMB 'Semangat Guru', diiringi dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat.
Seterusnya, ucapan Guru Besar Sekolah PGGMB Sungai Akar, Dayang Maswati Airin Patrah binti Ahmad yang mana mengongsikan para pelajar telah menunjukkan kebolehan, keupayaan, kreativiti, semangat dan potensi dalam mengharungi proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah ini dengan sukses, di samping itu juga memperlihat dan mengongsikan kejayaan ini kepada para ibu bapa dan penjaga.
Dayang Maswati Airin Patrah juga menyatakan bahawa pencapaian keputusan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) bagi Tahun 2026 ini ialah 100 peratus. Ini juga merupakan komitmen sekolah iaitu para guru, ibu bapa dan penjaga dan murid-murid adalah sangat baik dan berterusan dalam usaha menyokong dan membantu pihak sekolah mencapai kejayaan secara berterusan.
Di samping itu, majlis turut menyaksikan penyampaian sijil kepada KG 3 dan Tahun 6 bagi tahun 2026 dan penyampaian sijil kepada murid-murid yang mencapai prestasi akademik yang cemerlang dari KG hingga Tahun 6. Turut memeriahkan majlis ialah persembahan dari KG 1 hingga KG 3 serta persembahan akhir dari Tahun 6.