Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji AhmadFoto : Hatral Hazmi Haji Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 22 November. - Seramai 28 orang ahli kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD) yang terdiri daripada atlet-atlet sukan boling padang, renang dan sepak takraw serta Chef de Mission, pegawai-pegawai urus setia dan perhubungan, pegawai perubatan, pengurus pasukan dan jurulatih berlepas ke Sabah, Malaysia, hari ini bagi menyertai Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Ke-12.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada kontinjen berkenaan ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan serta ahli-ahli keluarga kontinjen.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan sesi bergambar ramai.
Kontinjen NBD bagi temasya kali ini diketuai oleh Dayang Noorfaizah binti Haji Suboh selaku Chef de Mission.
Dalam pada itu, atlet-atlet boling padang akan memulakan saingan pada 24 hingga 26 November 2026 di Arena Boling Padang, Kompleks Sukan Kota Kinabalu menerusi Acara Men’s Pair dan Men’s Triple.
Sementara itu, atlet-atlet renang akan beraksi pada 24 dan 25 November 2026 di Kompleks Akuatik, Kompleks Sukan Kota Kinabalu dalam Acara 50 meter (m) Kuak Kupu-Kupu (Butterfly), 100m Gaya Bebas (Freestyle), 50m Kuak Dada (Breaststroke), 50m Kuak Lentang (Backstroke) dan 50 Gaya Bebas (Freestyle).
Manakala pasukan sepak takraw dijadualkan bertanding pada 24 hingga 26 November 2026 di Dewan MAKSAK bagi Acara Men’s Doubles dan Men’s Regu.
Sukan Persahabatan BIMP-EAGA merupakan temasya sukan dwitahunan yang menghimpunkan atlet dan pegawai dari NBD, Indonesia, Malaysia dan Filipina, dengan mempertandingkan sembilan acara sukan.
Selain menjadi platform untuk menguji kemampuan dan prestasi atlet, temasya berkenaan juga berperanan dalam mengeratkan hubungan persahabatan serta semangat kesukanan dalam kalangan negara peserta.
NBD pernah menjadi tuan rumah bagi temasya Sukan Persahabatan BIMP-EAGA sebanyak dua kali, iaitu pada tahun 2008 dan 2018.