Eratkan hubungan silaturahim antara ahli PENJURU

23 Nov 2026 - 5:41am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi 

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

JERUDONG, Ahad, 22 November. - Yang Dipertua (YDP) Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam (PENJURU), Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah binti Abdullah dalam ucapannya menegaskan bahawa usaha membawa nama jururawat dan profesion kejururawatan ke tahap yang lebih dihormati dalam kalangan masyarakat merupakan hasil komitmen, kesungguhan serta sokongan padu daripada semua pihak yang terlibat dalam persatuan berkenaan.

Pada Majlis Menghubungkan Hati, Memupuk Harmoni, Mengukuhkan Ukhuwah PENJURU bertempat di salah sebuah restoran di Jerudong, hari ini, Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah turut merakamkan penghargaan kepada individu-individu yang sentiasa memberikan sokongan kuat kepada PENJURU termasuk para penggerak persatuan yang terus menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan PENJURU.

Menurutnya lagi, tanpa sokongan, kerjasama dan penglibatan para ahli, PENJURU tidak akan mampu berkembang dan mencapai hala tuju yang dihasratkan, khususnya dalam meningkatkan kepakaran serta profesionalisme jururawat di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah seterusnya turut berkongsi pengalaman sepanjang berkhidmat dalam profesion kejururawatan, yang menurutnya sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran, baik pada zaman dahulu mahupun masa kini. 

Cabaran dalam bidang kejururawatan semakin kompleks seiring dengan perubahan persekitaran perkhidmatan kesihatan, perkembangan teknologi serta kemunculan pelbagai penyakit.

Sehubungan itu, Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah menasihatkan para jururawat yang baru memasuki perkhidmatan agar sentiasa belajar daripada jururawat berpengalaman, memanfaatkan ilmu serta kemahiran yang diwarisi daripada mereka yang lebih senior, dan tidak takut menghadapi cabaran dalam menjalankan tugas.

Namun, beliau mengingatkan bahawa aspek keselamatan hendaklah sentiasa menjadi keutamaan, termasuk keselamatan pesakit dan keselamatan diri sendiri, memandangkan jururawat terdedah kepada pelbagai risiko pekerjaan, khususnya bahaya biologi serta jangkitan ketika melaksanakan tugas.

Jelasnya, sumbangan para jururawat yang tampil memberikan khidmat secara sukarela, termasuk ketika pandemik COVID-19, yang mencerminkan dedikasi, semangat pengorbanan dan tanggungjawab besar profesion kejururawatan terhadap masyarakat.

Dalam pada itu, beliau berharap agar sumbangan serta pengorbanan jururawat terus dihargai dan mendapat pengiktirafan sewajarnya, kerana peranan mereka bukan sekadar dilihat ketika pesakit mendapatkan rawatan, tetapi turut merangkumi pelbagai tanggungjawab penting yang menyokong sistem penjagaan kesihatan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis, Dayang Hajah Kamariah binti Haji Abdul Rahman dalam ucapan alu-aluannya berkata, tema yang dipilih kali ini sebagai aktiviti PENJURU di akhir tahun 2026 dan mengimbas kembali usaha dan kerja keras dilaksanakan sepanjang tahun ini.

Bagi semua warga PENJURU, syabas kerana telah berjaya melaksanakan pelbagai program sepanjang tahun 2026. Segala titik peluh dan juga pertolongan para ahli sekalian, dari segi buah fikiran, masa, tenaga dan wang ringgit amatlah dihargai setinggi-tingginya. Usaha yang tidak jemu-jemu ini telah membuahkan satu pencapaian kejayaan yang menjulang nama persatuan PENJURU di khalayak ramai.

Beliau berharap para ahli akan terus berusaha tanpa kendur-kendur, bertambah aktif, innovatif serta kreatif dalam mempertingkatkan lagi PENJURU bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah di tahap antarabangsa. Juga hadir, Timbalan YDP PENJURU, Dayang Hajah Asmah binti Haji Omar, Timbalan Setiausaha-Setiausaha serta Ahli-ahli Jawatankuasa PENJURU.

Majlis ini juga bertujuan untuk mengekalkan serta merapatkan lagi hubungan silaturahim di antara para ahli PENJURU, bersuai kenal dengan ahli-ahli baharu dan lama, dan juga merencana aktiviti-aktiviti yang bakal dilaksanakan pada tahun hadapan.