Persatuan KB Bikerz adakan AGM Pertama

23 Nov 2026 - 5:34am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji AhmadFoto : Ihsan Persatuan KB Bikerz

SERIA, Ahad, 22 November. - Persatuan KB Bikerz hari ini mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pertama bertempat di Bangunan Kasuari, BSRC, Seria.

Mesyuarat berkenaan dihadiri seramai 59 orang ahli, termasuk Ahli-ahli Kehormat Persatuan KB Bikerz menyaksikan pelantikan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Persatuan KB Bikerz bagi sesi 2026 hingga 2028.

Dilantik sebagai Yang Dipertua ialah Awang Md. Yuzri bin Abdul Rahman; Naib Yang Dipertua, Awang Shahrulnizal bin Sabarali; Setiausaha Agung, Pengiran Mohd Shahazren bin Pengiran Haji Idris dan Bendahari Agung, Pengiran Ali Syiryefullah bin Pengiran Ismail.

Pelantikan barisan kepimpinan baharu berkenaan diharap akan dapat membawa persatuan ke arah yang lebih maju, kukuh dan berjaya, di samping mempererat hubungan silaturahim serta semangat persaudaraan dalam kalangan ahli.

Mesyuarat Agung Tahunan pertama itu juga menjadi platform bagi ahli-ahli untuk menilai perjalanan persatuan, menyuarakan pandangan serta membincangkan perancangan dan hala tuju persatuan pada masa akan datang.

Dengan membawa tema ‘Our Club, Our Voice, Our Future’, Persatuan KB Bikerz berharap agar semangat perpaduan, kerjasama dan komitmen dalam kalangan ahli akan terus menjadi asas kekuatan persatuan.