Program POV : Becoming My Best Self labuh tirai

23 Nov 2026 - 5:54am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Ihsan Belia Masjid Zainab

BELAIT, Ahad, 22 November. - Seramai 34 peserta menamatkan Program POV : Becoming My Best Self anjuran Belia Masjid Zainab Lumut yang melabuhkan tirainya dengan Majlis Penutup bertemakan 'From Vision to Legacy' di Masjid Zainab, Lumut, di sini, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri.

Turut hadir selaku jemputan khas, Penolong Pengarah Urusan (Perkhidmatan Kebajikan dan Pembangunan Sosial), Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Iswandy bin Ahmad; Ketua Kampung Lumut II serta Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Zainab, Lumut.

Dilaksanakan melalui enam siri dari 26 Julai hingga 22 November 2026, program berkenaan menyasarkan belia berumur 16 hingga 25 tahun dengan memberi tumpuan kepada empat fokus utama, iaitu iman, ilmu, kesihatan fizikal dan kepimpinan.

Melalui empat fokus berkenaan, program ini bertujuan membantu peserta mengenali potensi diri, membina jati diri Muslim serta mengamalkan pembelajaran dalam tanggungjawab mereka sebagai anak, pelajar dan anggota masyarakat.

Perjalanan program bermula dengan 'Induction - POV : Becoming My Best Self', diikuti 'POV : Roots before Branches', 'POV : Lead from within', 'POV : Strong Body, Strong Ummah', 'POV : Talk Better, Connect Better' dan diakhiri dengan 'POV : From Vision to Legacy'. Pengisian program turut merangkumi aktiviti berkumpulan dan bimbingan.

Majlis penutup diisi dengan tayangan video perjalanan program, penyampaian sijil penyertaan dan hadiah serta sesi Galeri Perjalanan Kami.

Dalam sesi galeri tersebut, peserta membentangkan semula perkara yang dipelajari sepanjang keenam-enam siri kepada ibu bapa dan para tetamu. Sesi ini memberi ruang kepada peserta untuk menerangkan pembelajaran mereka serta berkongsi pengalaman sepanjang mengikuti program.

Pembiayaan utama program disediakan oleh JHEM, KHEU, manakala Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah turut memberikan tajaan.

Penganjur berharap para peserta akan terus mengamalkan ilmu dan nilai yang dipelajari dalam kehidupan seharian, di samping mengeratkan hubungan dengan masjid.

Sokongan pihak masjid, ibu bapa dan para pembimbing diharap dapat membantu kesinambungan usaha membentuk pelapis belia masjid yang bersedia menyumbang kepada masyarakat.