Sambutan Jubli Perak sempena penubuhan PEWAJA Ke-25

3 Og 2026 - 6:17am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 2 Ogos. – Persatuan Wanita Kampung Junjongan (PEWAJA) hari ini meraikan Majlis Sambutan Jubli Perak sempena Ulang Tahun Penubuhan Ke-25, di Dewan Kemasyarakatan Kampung Parit, Mukim Pengkalan Batu.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, isteri Ketua Kampung Putat, Dayang Zurairatul Zahra binti Dato Seri Setia Haji Rajid.

Turut hadir, Penghulu Mukim Pengkalan Batu dan isteri, beberapa jemputan khas, ahli-ahli PEWAJA serta keluarga masing-masing.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua PEWAJA, Dayang Zainab binti Haji Braim.

Acara diteruskan dengan persembahan tausyeh dan Ceramah Khas bertajuk 'Peranan Wanita Dalam Islam dan Berpersatuan' yang disampaikan oleh Pegawai Ugama dari Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Hajah Nurhikmah binti Haji Idris.

Pada majlis berkenaan, tetamu kehormat majlis turut menyempurnakan penyampaian cenderamata dan sijil penghargaan kepada individu-individu yang telah banyak berjasa dalam menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan PEWAJA sejak penubuhannya.

Para jemputan juga berpeluang menyaksikan mini pameran yang memaparkan sejarah penubuhan, perjalanan serta pencapaian PEWAJA sepanjang 25 tahun.

Bersempena sambutan berkenaan, PEWAJA turut menerbitkan buku Yaa Siin untuk kegunaan setiap ahlinya. Buku Yaa Siin berkenaan juga diwakafkan kepada Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan serta beberapa buah sekolah sebagai salah satu amal jariah persatuan sempena memperingati ulang tahun penubuhannya yang ke-25.

Ditubuhkan pada 13 Julai 2001, PEWAJA kini mempunyai seramai 73 ahli berdaftar yang terus bergiat aktif dalam melaksanakan pelbagai program keagamaan, kebajikan, kemasyarakatan dan kekeluargaan.

Sepanjang tempoh 25 tahun penubuhannya, PEWAJA terus memainkan peranan penting dalam memperkasa golongan wanita di samping menyumbang kepada pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat Kampung Junjongan.

Penganjuran Sambutan Jubli Perak berkenaan bertujuan untuk menghargai jasa serta pengorbanan generasi terdahulu yang telah bersama-sama membangun dan mengembangkan persatuan berkenaan.

Di samping itu, sambutan berkenaan juga menjadi wadah mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli persatuan, pemimpin masyarakat dan penduduk Kampung Junjongan.

Sambutan berkenaan diharapkan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan PEWAJA untuk memperkukuh peranannya sebagai sebuah persatuan yang aktif, progresif dan terus relevan dalam mendukung pembangunan masyarakat yang harmoni, bersatu padu serta sejahtera.