Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Luar NegeriFoto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Azmah Haji Ahad
REPUBLIK SINGAPURA, Jumaat, 23 Oktober. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Negara Brunei Darussalam berkenan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong di Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Semasa lawatan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen berkenan menandatangani buku tetamu dan kedua-dua pihak menekankan persahabatan erat di antara kedua-dua negara melalui pertukaran lawatan aktif serta kerjasama yang sangat baik dalam pelbagai bidang strategik.
Duli Yang Teramat Mulia kemudian berkenan mengadakan perjumpaan dengan Presiden Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Tharman Shanmugaratnam di Istana Villa.
DYTM dan Tuan Yang Terutama Presiden Republik Singapura menyambut baik hubungan mesra dan kekeluargaan di antara rakyat kedua-dua negara serta menekankan kepentingan untuk terus memupuk ikatan ini demi generasi akan datang.
Lawatan Rasmi pertama DYTM ke Republik Singapura dalam kapasiti sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri menandakan pencapaian penting dalam hubungan dua hala.
Perjumpaan-perjumpaan yang bermakna sepanjang lawatan berkenaan mengeratkan lagi semangat setia kawan serta memberikan momentum positif dalam mengukuhkan lagi hubungan kerjasama pada masa yang akan datang.
Atur cara tersebut menandakan hari terakhir Lawatan Pengenalan DYTM ke Republik Singapura dari 21 hingga 23 Oktober 2026.