NBD komited memperkukuh kerjasama sukan ASEAN

24 Okt 2026 - 7:03am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan

SIEM REAP, KEMBOJA, Jumaat, 23 Oktober. - Negara Brunei Darussalam (NBD) terus komited dalam memperkukuh kerjasama ASEAN dalam bidang sukan serta melaksanakan Pelan Kerja ASEAN mengenai Sukan (ASEAN Work Plan on Sports - AWPS) 2026-2030 melalui penyertaan dalam Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN mengenai Sukan Kali Ke-17 (17th ASEAN Senior Officials Meeting on Sports - SOMS-17) dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan, yang berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober 2026 di Siem Reap, Kemboja.

Delegasi NBD ke mesyuarat-mesyuarat tersebut diketuai oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.

Mesyuarat SOMS-17 dianjurkan oleh Kerajaan Kemboja melalui Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan, dan dipengerusikan oleh Setiausaha Negara di Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan, Tuan Yang Terutama Vath Chamroeun.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan sukan dari Negara-negara Anggota ASEAN serta Sekretariat ASEAN.

Mesyuarat meneliti kemajuan pelaksanaan AWPS 2026-2030, iaitu rangka kerja lima tahun yang menjadi panduan bagi kerjasama sukan ASEAN, serta inisiatif-inisiatif sukan di peringkat serantau.

Sesi terbuka mesyuarat turut dihadiri oleh rakan kerjasama dan entiti yang berkaitan dengan ASEAN.

Dalam Mesyuarat SOMS-17, NBD berkongsi perkembangan utama berhubung sumbangannya dalam kerjasama sukan serantau, termasuk penganjuran Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN Kali Ke-14 pada November 2025, perkembangan Fasa II Zon Sukan ASEAN (ASEAN Sports Zones Phase II) serta sambutan Hari Sukan ASEAN 2025.

Pada 21 Oktober 2026, NBD turut menyertai Mesyuarat SOMS+Jepun Kali Ke-9 (9th SOMS+Japan), yang dipengerusikan bersama oleh Kemboja dan Jepun. Mesyuarat tersebut meneliti kemajuan pelaksanaan inisiatif ASEAN-Jepun mengenai sukan, termasuk kesaksamaan gender, pendidikan jasmani dan sukan untuk pembangunan, kejurulatihan, pembangunan kapasiti antidoping serta inisiatif Bola Sepak bagi Matlamat Pembangunan Mampan (Football for SDGs).

Manakala pada 22 Oktober 2026, NBD turut menyertai Mesyuarat SOMS+China Kali Ke-5 (5th SOMS+China), yang dipengerusikan bersama oleh Kemboja dan Republik Rakyat China.

Mesyuarat tersebut bertukar-tukar pandangan mengenai bidang keutamaan kerjasama sukan ASEAN-China, termasuk sains sukan, Program Biasiswa Sukan ASEAN-China (ASEAN-China Sports Scholarship Programme), sukan dan permainan tradisional serta ASEAN Sports Zones.

Di samping itu, NBD yang diwakili oleh KKBS serta Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), turut menghadiri Mesyuarat Pertama Kumpulan Kerja mengenai Pelaksanaan Memorandum Persefahaman ASEAN-FIFA (1st Meeting of the Working Group on the Implementation of the ASEAN-FIFA Memorandum of Understanding).

Delegasi NBD turut disertai oleh dua orang pegawai kanan dari KKBS.