Kerjasama serantau, tindakan bersepadu perkukuh sistem kesihatan

24 Okt 2026 - 7:06am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 23 Oktober. -  Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam (NBD) ke Mesyuarat Jawatankuasa Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation - WHO) bagi Pasifik Barat Kali Ke-77 yang berlangsung pada 19 hingga 22 Oktober 2026 di Manila, Republik Filipina.

Mesyuarat kali ke-77 ini telah dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, Tuan Yang Terutama Zheng Zhe, dan telah menghimpunkan Menteri-Menteri Kesihatan dan para perwakilan dari 38 negara ahli WHO Rantau Pasifik Barat untuk meneliti kemajuan pelaksanaan program WHO, membincangkan cabaran kesihatan serantau serta mempertimbangkan dasar dan inisiatif bagi memperkukuh sistem kesihatan di rantau Pasifik Barat dengan berpandukan visi serantau 'Weaving Health for Families, Communities and Societies in the Western Pacific Region'.

Antara agenda utama mesyuarat termasuk meneliti laporan Pengarah Serantau Pejabat Rantau Pasifik Barat, peruntukan program dan pelaksanaan projek-projek, pemantauan perkembangan isu-isu kesihatan serta projek-projek mengikut keutamaan dan penyelarasan kerja-kerja yang dijalankan di rantau ini.

Di samping itu, mesyuarat turut membincangkan pelbagai isu teknikal  termasuk penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) secara bertanggungjawab dalam perkhidmatan kesihatan; usaha mempertingkat pengesanan, rawatan dan kawalan hipertensi; kemajuan program imunisasi termasuk perlindungan sepanjang hayat; serta langkah memperkukuh kawalan tembakau, khususnya dalam menangani penggunaan produk nikotin baharu. 

Semasa sesi pembahasan laporan Pengarah Serantau Pejabat Rantau Pasifik Barat, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengalu-alukan kemajuan usaha WHO dalam memperkukuh sistem kesihatan serantau yang lebih berdaya tahan dan mampan.

Yang Berhormat turut  menekankan kepentingan menangani cabaran kesihatan semasa, termasuk bencana alam, perubahan cuaca ekstrem, obesiti, kesihatan mental, penyakit tidak berjangkit dan ancaman penyakit berjangkit. 

Dalam hubungan itu, Yang Berhormat turut mengongsikan usaha NBD dalam memperkukuh perancangan dan tadbir urus kesihatan melalui pembangunan Pelan Tindakan Bersama Kebangsaan One Health, Pelan Tindakan Multisektoral Kebangsaan bagi Penyakit Tidak Berjangkit dan Kesihatan Mental (BruMAP NCDMH), dan Pelan Strategik Makmal Kebangsaan yang pertama.

Yang Berhormat seterusnya menegaskan kepentingan sokongan teknikal WHO, kerjasama serantau dan tindakan bersepadu merentas sektor bagi memperkukuh kesiapsiagaan, pencegahan penyakit serta meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat di rantau ini.

Selain itu, Yang Berhormat juga menyertai Sesi Meja Bulat Peringkat Menteri mengenai potensi kerjasama serantau dalam penyediaan  stok simpanan bekalan kesihatan penting dan mekanisme perolehan bersama (Regional Health Essential Stockpile and Pooled Procurement Mechanism).

Dalam sesi tersebut, NBD menyatakan sokongan terhadap usaha meneroka kerjasama serantau bagi memperkukuh akses kepada ubat-ubatan dan produk kesihatan penting melalui mekanisme perolehan bersama dan simpanan stok serantau, khususnya semasa  menghadapi gangguan rantaian bekalan global dan kecemasan kesihatan awam. 

Semasa perbincangan mengenai rawatan dan kawalan hipertensi, NBD telah menegaskan komitmen untuk memperkukuh usaha pengawalan hipertensi melalui pengesanan awal, penjagaan kesihatan asasi  dan pengurusan pesakit yang lebih berkesan dengan penggunaan data kesihatan dan teknologi digital, pengukuhan pemantauan serta tindakan susulan pesakit, di samping mempergiat langkah pencegahan melalui Strategi Kebangsaan Pengurangan Garam 2023-2030. 

Satu mesyuarat Informal Working Group on Executive Board Seats Allocation juga telah diadakan dan dipengerusikan oleh NBD bagi meneruskan perbincangan dalam kalangan negara-negara ahli mengenai kaedah pengagihan lima kerusi Lembaga Eksekutif WHO yang diperuntukkan kepada Rantau Pasifik Barat, termasuk dalam mempertimbangkan pendekatan yang lebih saksama, telus dan teratur bagi perwakilan negara-negara ahli di Lembaga Eksekutif WHO.

Di luar mesyuarat utama, Yang Berhormat telah mengadakan pertemuan dua hala dengan calon-calon bagi jawatan Ketua Pengarah WHO. Pertemuan tersebut bertujuan mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai latar belakang, visi, hala tuju serta perancangan strategik setiap calon dalam menerajui WHO pada masa hadapan.

Penyertaan NBD mencerminkan komitmen berterusan negara untuk menyumbang kepada kerjasama kesihatan serantau, memperkukuh sistem kesihatan yang berdaya tahan dan mampan serta meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat.