Kumpulan QnA johan Pertandingan Cipta Video Dakwah 5.0

24 Okt 2026 - 7:01am

Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki bin Pg. Haji Kasharan

KILANAS, Jumaat, 23 Oktober. - Dalam usaha menyemai kesedaran tentang peranan setiap individu dalam membimbing dan membentuk generasi yang berilmu, berakhlak mulia serta berupaya menghadapi cabaran masa hadapan, Kumpulan Belia Masjid Senegara menganjurkan Pertandingan Mencipta Video Dakwah 5.0, iaitu penganjuran kali ke-5, bersempena dengan Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam yang bertemakan ‘Reimagining Education for a Dynamic Future’.

Dengan membawa tema ‘Mendidik Dengan Hikmah, Membimbing Generasi Harmoni dan Berinovatif’, pertandingan pada tahun ini menekankan kepentingan peranan setiap individu sebagai pendidik melalui bimbingan, perkongsian ilmu, nasihat dan teladan yang baik dalam membentuk generasi masa hadapan yang berilmu serta berakhlak mulia.

Selain itu, pertandingan ini turut menjadi wadah untuk mencungkil kreativiti dan bakat golongan belia serta masyarakat umum dalam menyampaikan mesej dakwah yang bermanfaat melalui penghasilan video yang kreatif dan berkesan.

Sebanyak 20 penyertaan telah mengikuti pertandingan yang turut dibukakan kepada orang ramai, sama ada secara individu mahupun berkumpulan.

Sehubungan itu, Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil Penghargaan bagi pertandingan berkenaan diadakan petang tadi di Masjid Kampung Kilanas.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri yang berkesudian menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang yang diraikan pada petang tadi.

Pemenang Video Dakwah tempat pertama telah menerima hadiah berupa wang tunai BND400 yang dimenangi oleh Kumpulan QnA yang dianggotai oleh Qabsah Munawwarah dan Muhammad Adam.

Sementara itu tempat kedua dimenangi oleh Kumpulan dari Sekolah Menengah Sayyidina 'Othman Tutong yang diketuai oleh Widuri Haji Maidin. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Nurul Azfar bin Al-Hussaini.

Pemenang tempat kedua dan ketiga turut menerima hadiah serta sijil penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap kreativiti, usaha dan komitmen mereka dalam menghasilkan video dakwah yang bermakna.

Melalui penganjuran pertandingan ini, Kumpulan Belia Masjid Senegara berharap agar golongan belia dan masyarakat umum akan terus memanfaatkan kreativiti serta platform media sosial untuk menyebarluaskan mesej dakwah, ilmu pengetahuan dan nilai-nilai murni.

Usaha ini diharap dapat mendorong generasi muda untuk tampil sebagai pembimbing dan sumber inspirasi dalam membentuk masyarakat yang harmoni, berilmu, berakhlak mulia dan berinovatif, selaras dengan aspirasi pendidikan negara.