Oleh : Nurhamiza Haji RoslanFoto : Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial@Tekpin bin Ya’akub, Penghulu Mukim Ukong menzahirkan sokongannya terhadap usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat juga menzahirkan rasa hormat serta tanggungjawab dan komitmen terhadap kemajuan negara, dan menjelaskan sokongan beliau dengan mengambil bahagian dalam membahaskan usul berkenaan.
Pada asasnya, Yang Berhormat menyokong usul tersebut kerana Wawasan Brunei 2035 bukan sekadar suatu dokumen perancangan atau sasaran jangka panjang, bahkan merupakan hala tuju pembangunan negara, aspirasi kebangsaan dan amanah bersama yang perlu diterjemahkan melalui tindakan yang nyata, tersusun, bersepadu serta memberi hasil dan manfaat yang dapat dirasai oleh rakyat dan negara.
Dalam hubungan ini, Yang Berhormat mengongsikan bahawa titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa menjadi panduan dan landasan kepada seluruh jentera kerajaan serta rakyat untuk terus memperkukuh pembangunan negara, meningkatkan keupayaan modal insan, mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, memajukan ekonomi dan memelihara kesejahteraan rakyat.
“Penekanan baginda, terhadap pendidikan, pembangunan modal insan, ekonomi, inovasi, teknologi, kecekapan pentadbiran serta penggunaan sumber negara secara berhemah hendaklah diterjemahkan bukan hanya dalam bentuk dasar, program atau inisiatif tetapi melalui tindakan yang mempunyai hala tuju, sasaran, ukuran dan hasil yang jelas,” terang Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan Wawasan Brunei 2035 menetapkan tiga matlamat utama, iaitu Rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya; Kualiti kehidupan yang tinggi dan Ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan. Ketiga-tiga matlamat ini saling berkait dan tidak boleh digerakkan secara berasingan.
Yang Berhormat berkata rakyat yang berilmu, berkemahiran dan mempunyai nilai yang kukuh akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti serta pembangunan ekonomi negara dan ekonomi yang dinamik pula akan mewujudkan peluang pekerjaan, memperluas penyertaan rakyat dan menyokong kesejahteraan masyarakat. Sementara itu, kualiti kehidupan yang tinggi akan membentuk masyarakat yang sihat, selamat, stabil dan berdaya tahan.
Oleh itu, ujar Yang Berhormat, penyelarasan yang dimaksudkan dalam usul ini hendaklah dilihat sebagai usaha untuk menyatukan seluruh kekuatan negara supaya kementerian, jabatan, agensi, sektor swasta, institusi pendidikan, majlis-majlis perundingan dan masyarakat bergerak ke arah matlamat yang sama.
Penyelarasan bukan sekadar menyelaraskan program atau aktiviti, tetapi juga menyelaraskan keutamaan, tanggungjawab, sumber, pelaksanaan dan hasil jelas Yang Berhormat.