Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan
TUTONG, Khamis, 30 Julai. - Pentas Perayaan Daerah Tutong bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Tahun 2026, di Gerai Perayaan Daerah Tutong diteruskan lagi malam ini dengan acara berunsur keagamaan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada acara Qalbu Dakwah Permata Seni berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri.
Acara Qalbu Dakwah Permata Seni yang dikendalikan oleh Kumpulan Permata Seni pada malam tadi membawakan beberapa buah lagu bercorak keagamaan termasuklah ‘Intifada’, ‘Allah Luar Biasa’, ‘Selawat Cinta’, ‘Rindu Pada Mu’, ‘Pergi Tak Kembali’, ‘25 Rasul’ dan banyak lagi.
Antara penyanyi tempatan yang turut membuat penampilan pada acara berkenaan terdiri dari Wan Zikri, Dayat, Mohd. Sabri, Aizuddin, Arvan Ravcarl, Haziq serta Ahli-ahli Kumpulan Permata Seni.
Di samping membawakan lagu-lagu berunsur keagamaan, acara turut dimeriahkan dengan diselangi kuiz bersama para pengunjung yang hadir di Pentas Perayaan kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong, di sini.
Penganjuran persembahan seumpama ini adalah bertujuan bagi menyemarakkan lagi kemeriahan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta memeriahkan lagi suasana Pentas Perayaan di Daerah Tutong.
Pentas Perayaan Daerah Tutong akan terus menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan bercorak kebudayaan, hiburan, keagamaan dan beberapa aktiviti kemasyarakatan sepanjang tempoh sambutan.
Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir menyaksikan persembahan Pentas Perayaan pada setiap malam diadakan sehingga 8 Ogos 2026 depan bagi sama-sama memeriahkan lagi Pentas Perayaan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80.