PSB anjur Cabaran Larian Sejarah Brunei, Pertandingan Pickleball

28 Okt 2026 - 6:19am

Berita : Ihsan Adibah Jaafar

Infografik : Pusat Sejarah Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 27 Oktober. - Pusat Sejarah Brunei (PSB), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), dengan kerjasama Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) selaku penaja utama dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), akan mengadakan Program Cabaran Larian Sejarah Brunei 2026 Kali Ke-4 pada Ahad, 1 November 2026, bertempat di PSB.

Program yang berkonsepkan ‘Knowledge, Healthy Lifestyle and Fun’ itu membawa tema ‘Belajar Sejarah Inspirasi Masa Depan’ atau ‘Learn History to Inspire the Future’ dan akan disertai oleh seramai 441 peserta yang dibahagikan kepada 147 kumpulan.

Program berkenaan bertujuan menggabungkan pembelajaran sejarah dengan aktiviti fizikal yang sihat, di samping memupuk minat masyarakat terhadap sejarah negara melalui pendekatan yang interaktif dan menyeronokkan.

Selain Cabaran Larian Sejarah Brunei 2026, PSB turut menganjurkan Pertandingan Pickleball Nakhoda Awang 2026 dengan kerjasama Kelab Dinkin’ Lobsters dan RYS Event Management.

Kejohanan tersebut akan berlangsung selama tiga hari, bermula 30 Oktober hingga 1 November 2026, bertempat di PSB, dengan penyertaan seramai 120 peserta yang terdiri daripada wakil sektor kerajaan, sektor korporat dan swasta, institusi perbankan serta kategori terbuka di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Pertandingan Pickleball Nakhoda Awang 2026 dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Beregu Lelaki dan Beregu Wanita.

Penganjuran kejohanan berkenaan bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan belia serta masyarakat, di samping mengenal pasti pemain berpotensi daripada organisasi kerajaan dan swasta.

Kejohanan itu juga dihasratkan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pemain pickleball di dalam dan luar negara, serta menyokong perkembangan sukan berkenaan yang semakin mendapat perhatian di NBD.

Sehubungan itu, PSB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pemain, urus setia serta penaja yang memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan penganjuran kejohanan berkenaan.

Penganjuran kedua-dua program itu mencerminkan usaha berterusan PSB dalam menggabungkan elemen sejarah, sukan dan gaya hidup sihat, sekali gus menyediakan ruang kepada masyarakat untuk menimba ilmu pengetahuan, mengeratkan hubungan serta menyertai aktiviti yang bermanfaat.