Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 1 Ogos. - Program Persediaan Pekerjaan (Career Readiness Bootcamp) melabuhkan tirainya hari ini dengan Majlis Penutup yang berlangsung di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Program yang dilaksanakan secara rintis itu merupakan hasil kerjasama strategik antara Pusat Pekerjaan Brunei (PPB) dan KHEU, melibatkan penyertaan seramai 50 graduan daripada bidang Perguruan Ugama (Pendidikan Islam), Pengajian Islam, Syariah, Undang-Undang Syariah, Usuluddin, Bahasa Arab serta Al-Quran dan Qiraat.
Inisiatif tersebut bertujuan memperkukuhkan kebolehpasaran graduan bidang ugama melalui pendekatan pembangunan yang menyeluruh dengan memberi penekanan kepada pembangunan diri, persediaan kerjaya, kemahiran insaniah, literasi digital, penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), keusahawanan serta pendedahan kepada pelbagai laluan kerjaya dan dunia pekerjaan.
Sepanjang lima hari pelaksanaannya, para peserta mengikuti pelbagai sesi pembangunan diri, perkongsian bersama rakan-rakan program PPB daripada pertubuhan bukan kerajaan dan sektor swasta, sesi dialog bersama pihak industri, sesi jaringan profesional (networking session) serta lawatan industri yang memberi pendedahan secara langsung kepada persekitaran kerja profesional, budaya organisasi dan jangkaan majikan terhadap kompetensi serta kemahiran yang diperlukan dalam pasaran pekerjaan masa kini.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program, KHEU turut mengendalikan beberapa sesi perkongsian yang memberi fokus kepada pembangunan profesional graduan bidang ugama. Antaranya ialah laluan pembangunan kompetensi, kepentingan pembelajaran sepanjang hayat, pembangunan kerjaya serta penerokaan pelbagai ruang sumbangan kepada masyarakat berlandaskan ilmu dan kepakaran yang dimiliki.
Majlis Penutup turut menyaksikan penyampaian sijil penyertaan kepada kesemua 50 peserta yang berjaya menamatkan program berkenaan. Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Dr. Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd. Salleh.
Hadir sama ialah Pengarah Pentadbiran, KHEU, Awang Mohammad Zulhilmi bin Haji Omar Ali, yang turut menyampaikan ucapan penutup majlis.
Dalam ucapannya, Awang Mohammad Zulhilmi menekankan bahawa ilmu yang dimiliki oleh graduan bidang ugama merupakan satu amanah yang perlu diterjemahkan melalui khidmat, integriti dan profesionalisme dalam apa jua bidang yang diceburi dengan menerapkan nilai-nilai murni Islam.
Beliau turut menyeru para peserta agar terus memperkukuhkan kompetensi, meningkatkan kemahiran dan membina keyakinan diri supaya sentiasa bersedia menghadapi perubahan serta cabaran dunia pekerjaan yang semakin dinamik. Di samping memiliki asas ilmu yang kukuh, graduan juga perlu menguasai teknologi, meningkatkan kemahiran baharu dan bersikap proaktif dalam merebut peluang kerjaya yang sentiasa berkembang mengikut peredaran zaman.
Program tersebut mencerminkan komitmen bersama PPB dan KHEU dalam memperkukuhkan pembangunan modal insan melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation dengan memanfaatkan kepakaran serta jaringan kerjasama pelbagai pihak bagi melahirkan graduan yang lebih berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia menyumbang kepada pembangunan agama, masyarakat dan negara.
Usaha berkenaan juga selaras dengan Matlamat Pertama Wawasan Brunei 2035, iaitu melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya. Selain itu, program tersebut turut mendukung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagaimana yang dizahirkan dalam Titah Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80 Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi agar generasi muda bukan sekadar menjadi penonton kepada perubahan dan penggunaan teknologi ciptaan pihak lain, malah bangkit sebagai pencipta, pemikir dan pemimpin yang berwawasan.
Sehubungan itu, Program Persediaan Pekerjaan diharapkan menjadi pemangkin kepada graduan bidang ugama untuk terus memperkukuhkan ilmu, meningkatkan kompetensi, menguasai teknologi dan kemahiran baharu serta berani meneroka pelbagai peluang kerjaya yang mampan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan agama, masyarakat dan negara.