Oleh : Rohani Haji Abdul HamidFoto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BERAKAS, Jumaat, 31 Julai. - Program Citarasa & Tautan Budaya Brunei-Sarawak 2026 adalah merupakan salah satu platform penting melalui kerjasama erat antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Sarawak dalam usaha memperkukuh hubungan kekeluargaan, persahabatan, memperkasa dengan pertukaran budaya serta dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pelancongan.
Program tahun ini telah meningkat sebanyak 116 pengusaha berbanding hanya 39 pengusaha pada tahun lalu. Peningkatan tersebut membuktikan keyakinan komuniti perniagaan terhadap program ini sebagai platform membuka peluang pasaran baharu dengan mengukuhkan kerjasama ekonomi antara dua negara.
Perkara ini telah dijelaskan oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dalam ucapan pelancarannya pada Majlis Perasmian Citarasa & Tautan Budaya Brunei-Sarawak 2026 yang berlangsung di Dewan Muhibbah, Jalan Lapangan Terbang Lama, hari ini.
Yang Berhormat seterusnya menambah perkembangan ini selari dengan prestasi hubungan perdagangan antara NBD dan Sarawak yang terus menunjukkan momentum positif dan potensi besar kerjasama ekonomi yang boleh terus diperkasakan melalui perdagangan, pelaburan dan pembangunan perusahaan tempatan.
Program hari ini, kongsi Yang Berhormat, merupakan kesinambungan kepada penyertaan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI) dan syarikat tempatan dalam Borneo International Halal Showcase yang baharu berlangsung di Sarawak.
"Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan dalam membantu Pengusaha Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan memperluaskan pasaran eksport, meningkatkan daya saing serta menembusi pasaran serantau, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negara," terang Yang Berhormat.
Ujar Yang Berhormat lagi, kedudukan geografi Sarawak dan NBD merupakan satu kelebihan strategik. Dengan memanfaatkannya secara optimum, Yang Berhormat yakin kita mampu membangunkan ekosistem kerjasama rentas sempadan yang lebih dinamik dan saling menguntungkan demi kemakmuran bersama.
Berkait dengan sektor agrimakanan dan agenda sekuriti makanan, Yang Berhormat melihat terdapat potensi yang amat besar untuk memperkukuhkan kerjasama pelaburan dalam pelbagai industri, antaranya komoditi tanaman (padi) ternakan (seperti penternakan lembu) dan kelapa sawit yang kukuh serta mampan.
Pendekatan ini, jelas Yang Berhormat, bukan sahaja berpotensi mewujudkan rantaian nilai industri yang lebih bersepadu antara Sarawak dan NBD, malah mampu meningkatkan nilai tambah kepada dua ekonomi dengan membuka peluang pekerjaan dengan menggalakkan pemindahan teknologi serta memperkukuh sekuriti makanan.
Dalam masa yang sama, turut dapat mengurangkan kebergantungan kepada import produk makanan bagi kedua-dua negara dan di samping mewujudkan asas yang lebih kukuh untuk menembusi pasaran eksport serantau dan antarabangsa.
Jelas Yang Berhormat lagi, gabungan strategik ini juga berpotensi membangunkan rantaian bekalan makanan rentas sempadan melalui pengeluaran komersial serta penggunaan teknologi pertanian moden seperti precision agriculture, dron dan Internet of Things (IoT).
"Dalam sektor pelancongan pula, Joint-Promotion bagi kedua-dua destinasi perlu terus diperkukuhkan lagi kerana sektor ini merupakan antara pemacu penting pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam menjana pendapatan kepada PMKS, industri, hospitaliti, pengangkutan, makanan dan minuman serta ekonomi komuniti.
"Ini termasuklah mempertingkat usaha dalam pembangunan pakej pelancongan rentas sempadan yang bersepadu dan saling melengkapi," terang Yang Berhormat.
Pendekatan ini, tambah Yang Berhormat, akan memperkukuh daya tarikan kedua-dua destinasi sebagai destinasi berkembar (twin-destination), khususnya bagi pelawat daripada pasaran jarak jauh.
Yang Berhormat seterusnya berkata, melalui kolaborasi strategik ini, kedua-dua pihak bukan sahaja meningkatkan aliran pelancongan dan tempoh penginapan dengan memperluaskan limpahan manfaat ekonomi kepada perusahaan tempatan, penyedia perkhidmatan pelancongan, penggiat seni budaya dan komuniti di kedua-dua belah sempadan.
Program Citarasa & Tautan Budaya Sarawak-Brunei 2026 kembali untuk Edisi Kedua dengan skala yang lebih besar, lebih meriah dan lebih menarik dalam meraikan kekayaan warisan kulinari, kraf tangan dan budaya Sarawak serta NBD.
Program ini merupakan anjuran Sarawak Trade and Tourism Office Brunei (STATOB) dengan kerjasama Majlis Perundingan Mukim Berakas 'B', susulan kejayaan penganjuran edisi sulung yang telah mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat kedua-dua wilayah.
Edisi kali ini menampilkan penyertaan yang lebih ramai melibatkan usahawan, pempamer dan komuniti budaya dari Sarawak, NBD dan 1 Kampung 1 Produk (1K1P - NBD).
Program ini juga adalah bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026.
Program ini menghimpunkan kepelbagaian cita rasa, tradisi dan warisan budaya kedua-dua wilayah dalam suasana yang meriah bagi meraikan perpaduan, persahabatan dan kerjasama serantau.
Pelbagai pengalaman menarik termasuk pameran makanan autentik, pameran kraf tangan tradisional dan kontemporari, demonstrasi masakan secara langsung, persembahan kebudayaan serta pelbagai aktiviti interaktif untuk seisi keluarga.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Yang Berhormat Dato Paduka Seri Laila Jasa Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan.
Juga hadir, Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab dan Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi bin Habibollah dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke NBD, Tuan Yang Terutama Datuk Mohd. Aini Atan.