Program dedahkan belia dengan pertanian berteknologi tinggi

4 Og 2026 - 6:48am

Berita : Siti Rokiah Abdullah

Foto : Ihsan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan

 

TUNGKU, Isnin, 3 Ogos. - Seramai 24 belia mengikuti Program Pendedahan Belia-Belia yang Berpotensi untuk Menceburi Bidang Pertanian Berteknologi Tinggi Kali Ke-12.

Hadir pada perasmian program yang diadakan di Pusat Perkhidmatan dan Latihan Lepas Tuai, Tungku ialah Eksekutif Jurutera Jentera Ladang merangkap Ketua Bahagian Dasar dan Kewangan, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Awang Aziz Soffre bin Haji Ahmad. Program tersebut diungkayahkan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI).

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menjelaskan terus memperkenalkan penggunaan teknologi pertanian pintar dan inovatif yang mampu meningkatkan produktiviti, kecekapan pengeluaran serta daya saing sektor pertanian.

Jelasnya, penerapan teknologi moden amat penting bagi meningkatkan pengeluaran tanaman dan ternakan, khususnya dalam kawasan pengeluaran yang terhad.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha tersebut adalah selaras dengan Pelan Strategik Jabatan serta Peta Jalan dan Sasaran Sektor Pertanian dan Agrimakanan 2022-2030 yang menyasarkan keseluruhan keluaran industri tanaman mencecah BND148.29 juta menjelang tahun 2030.

Program berkenaan dianjurkan bagi menarik minat golongan belia untuk menceburi bidang pertanian dengan memperkenalkan sektor tersebut sebagai satu bidang perniagaan yang berpotensi tinggi, mampu menjana pendapatan lumayan, meningkatkan produktiviti serta menyumbang kepada usaha memperkukuhkan jaminan keselamatan makanan negara.

Program selama 13 hari merangkumi sesi taklimat mengenai peluang pelaburan dalam sistem tanaman hidroponik dan fertigasi, pengurusan kewangan serta strategi pemasaran yang dikendalikan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB).

Selain itu, para peserta turut berpeluang mengikuti latihan industri di beberapa ladang terpilih, iaitu Hua Ho Agricultural Farm, Nana Agro Farm dan Natural Healing Enterprise. Latihan tersebut memberi pendedahan secara praktikal mengenai pengurusan ladang berteknologi moden, sekali gus membolehkan peserta mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh dalam persekitaran sebenar.

Melalui program ini, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan berharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan belia dalam sektor pertanian yang berjaya, komited, progresif dan produktif. Inisiatif tersebut juga dihasratkan dapat menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pertanian, sekali gus menyokong aspirasi KEPI dalam memperkukuhkan pembangunan sektor pertanian dan agrimakanan negara.

030826_PROGRAM_ROKIAH_030826_PROGRAM_ROKIAH1