Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam
GADONG, Isnin, 13 Julai. - Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) menerima kunjungan hormat daripada Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak (PPMCS) yang berlangsung di Ibu Pejabat PPNBD, Jalan Gadong, baru-baru ini.
Delegasi PPMCS diketuai oleh Penolong Pesuruhjaya Negeri Sarawak Bahagian Pengakap Laut, Fauziah Pata bersama Setiausaha Majlis Daerah Miri, Jude Wong.
Sementara itu, PPNBD diwakili oleh Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Skip Haji Junaidi bin Haji Hussin; Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Laut, Skip Muhammad Hamdanajib bin Haji Domeng serta beberapa orang Pesuruhjaya Ibu Pejabat PPNBD. Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Malaysia, Skipper Ts. Mohd. Hilmi bin Abu Bakar.
Pertemuan tersebut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim, bertukar pandangan serta meneroka peluang kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada pembangunan pergerakan pengakap dan aktiviti kepimpinan pada masa hadapan.
Antara perkara yang dibentangkan semasa pertemuan itu ialah penubuhan Pengakap Kanak-kanak Laut, yang telah dilancarkan baru-baru ini sempena Kem Pendidikan Marin 3.0.
Selain itu, PPNBD turut menyatakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan PPMCS dalam bidang latihan kepimpinan, khususnya bagi memperkukuh pembangunan Pengakap Laut di Negara Brunei Darussalam.