PMKS asas penting pertumbuhan ekonomi negara

6 Og 2026 - 4:57am

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani

Foto : Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam menyokong Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana atau PMKS sebagai salah satu asas penting dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Setakat ini jelas Yang Berhormat, sokongan kepada PMKS yang meliputi bantuan awal pembiayaan, latihan, pendigitalan, pensijilan dan pemasaran dikendalikan oleh agensi-agensi yang berasingan.

Perkara demikian dijelaskan oleh Yang Berhormat semasa membahaskan Usul Menyokong Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Oleh itu jelas Yang Berhormat, semua proses kelulusan dan penyampaian sokongan-sokongan tersebut, perlu diselaraskan dalam satu ‘mechanism’ bersepadu, yang dipimpin oleh satu agensi peneraju dan dilaksanakan mengikut garis masa yang jelas.

Pada masa yang sama tambah Yang Berhormat, pembangunan kemahiran dan penempatan kerja perlu dipadankan dengan keperluan sebenar PMKS.

"Langkah ini akan memperkukuh keupayaan perusahaan untuk menghadapi cabaran, berkembang dan menembusi pasaran antarabangsa. Dasar dan inisiatif PMKS perlu dinilai berdasarkan impak dan kebolehlaksanaannya untuk dipetakan pada hasil yang jelas.

"Semua agensi mesti bergerak selari menuju satu matlamat, iaitu PMKS yang produktif, berdaya saing dan mampu menyediakan pekerjaan berkualiti kepada rakyat tempatan," ujar Yang Berhormat.

Menurut Yang Berhormat lagi, kenal pasti Key Performance Indicator (KPI) sedia ada yang menilai perubahan sebenar prestasi PMKS dalam beberapa aspek termasuk pertumbuhan hasil, produktiviti, nilai kontrak, eksport, pekerjaan berkualiti dan kelangsungan perniagaan. Faktor kejayaan dan kegagalan juga perlu dinilai dan dikenal pasti.

Sementara itu, Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, keselamatan makanan merupakan salah satu asas penting dalam dasar keselamatan negara.

Bagi menjayakan hasil ‘national’ sektor ini kata Yang Berhormat, negara memerlukan penyelarasan bersepadu yang mengenal pasti bahan makanan asas, tahap permintaan, kapasiti pengeluaran tempatan dan risiko kebergantungan kepada import makanan yang mendedahkan negara kepada gangguan-gangguan bekalan dan kenaikan harga disebabkan faktor-faktor seperti perubahan iklim dan ketegangan geopolitik.

"Negara juga perlu mengelak dari kebergantungan penuh kepada satu negara ataupun satu pembekal. Keselamatan tidak tertumpu kepada jumlah pengeluaran tempatan semata-mata tetapi hendaklah merangkumi ketersediaan bekalan, kemampuan rakyat membeli makanan pada harga yang berpatutan, kualiti pemakanan dan kestabilan harga," ujar Yang Berhormat.

Menurut Yang Berhormat, ia juga disokong oleh simpanan strategik yang mencukupi dengan sumber bekalan alternatif, rantaian sejuk dan tindak balas kecemasan bagi menghadapi gangguan-gangguan perdagangan, cuaca, penyakit atau kenaikan harga sambil memastikan makanan asas kekal mampu dibeli oleh rakyat tempatan dan penduduk semuanya.

Yang Berhormat menambah, pengusaha pertanian dan makanan perlu diberikan akses yang bersepadu kepada penyediaan tanah, pembiayaan teknologi, tenaga kerja bekalan air, input pengeluaran dan khidmat teknikal.

Jelas Yang Berhormat lagi, keberkesanan sokongan tidak seharusnya diukur pada jumlah bantuan semata-mata tetapi menilai impaknya terhadap peningkatan hasil, pengurangan kos pengeluaran, kesinambungan operasi dan keupayaan pengusaha memenuhi permintaan pasaran secara konsisten.

Yang Berhormat menjelaskan, ini memerlukan ekosistem sokongan yang lengkap termasuk kemudahan penyimpanan, pemprosesan, pengangkutan dan akses pasaran yang berkesan.

"Pengeluaran tempatan hendaklah diselaraskan juga dengan pemborong, peruncit, pengusaha makanan serta agensi kerajaan dan swasta bagi memastikan hasil tempatan dipasarkan dengan cekap, mengurangkan kerosakan hasil dan mewujudkan pasaran yang stabil dan mampan.

"Ia juga perlu dilengkapi dengan strategi, mengurangkan kebergantungan kepada import yang berdaya tahan yang dinilai dengan menetapkan sasaran secara berperingkat sebagai KPI," ujar Yang Berhormat lagi.

Jelas Yang Berhormat lagi, ukuran kejayaan hendaklah juga merangkumi ketersediaan bekalan makanan asas, produktiviti pengeluaran tempatan dan kestabilan harga.

Oleh itu tambah Yang Berhormat, kejayaan makanan tidak boleh dicapai melalui pengeluaran semata-mata, ia memerlukan penyelarasan dari peringkat pengeluaran sehingga makanan sampai kepada pengguna dan ini tidak boleh dilaksanakan oleh satu kementerian ataupun satu agensi semata-mata.

"Dengan pendekatan bersepadu agensi-agensi yang berkepentingan di sektor swasta, kerajaan dan swasta, insyaaAllah kita akan berupaya membina satu sistem makanan yang lebih produktif, stabil, mampu milik dan berdaya tahan," ujar Yang Berhormat lagi.