Oleh : Muhammad Khairulanwar Ali Rahman
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Nurhafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Mengenai tempoh pajakan rumah kedai di mana peraturan baharu yang telah menetapkan tempoh pajakan maksimum adalah selama 30 tahun. Tempoh yang telah dikemaskini dengan pelaksanaan Perintah Kanun Tanah (Pindaan 2025), yang telah berkuatkuasa mulai 1 Ogos 2025.
Antara pembaharuan dalam pindaan kanun tanah ini telah memberikan pertimbangan bagi permohonan memajak tanah persendirian di bawah Seksyen 23 Kanun Tanah Penggal 40 iaitu rumah kediaman pajakan maksimum 60 tahun, ‘mixed development’ pajakan maksimum 60 tahun dan bagi industri, 30 tahun, manakala rumah kedai, 30 tahun.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid bagi menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof mengenai Perintah Kanun Tanah (Pindaan) 2025 yang memperuntukkan tempoh pembangunan rumah kedai dan perindustrian kepada ‘stateless’ serta warganegara asing sehingga 30 tahun sedangkan kelazimannya adalah 60 tahun serta pencerahan adakah berkenaan kajian penganalisaan komprehensif dari aspek risiko dan ‘cost-benefit analysis’ bagi mempastikan perubahan dasar mendatangkan kesan ‘win-win situation’ serta perkembangan perekonomian negara.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan seterusnya menjelaskan, antara tujuan perubahan ini ialah pertama, sebagai satu cara untuk menangani beberapa cabaran yang dihadapi beberapa pusat-pusat komersial yang terdapat di negara ini, bagi menggalakkan supaya pemilik bangunan untuk terus memelihara dan menyelenggara hartanah mereka secara berterusan.
“Analisis turut mengambil kira bahawa apabila sesebuah bangunan mencapai usia 60 tahun, didapati kebanyakannya bangunan-bangunan berkeadaan usang, memerlukan kos penyelenggaraan tinggi dan ketara. Secara amnya, aset dan bangunan mengalami kemerosotan dari segi struktur, fungsi dan prestasi akibat faktor usia, penggunaan berterusan serta pendedahan kepada cuaca,” jelas Yang Berhormat.
Salah satu cabaran yang dihadapi oleh kementerian ini juga ialah pertama, mengenai aduan-aduan mengenai keadaan ‘parking’, keadaan jalan raya di kawasan-kawasan pusat-pusat komersil yang memerlukan pembaikan.
Salah satu daripada aduan-aduan ini melibatkan kawasan ‘parking’, jalan raya yang sudah pecah dan rosak dan perlu untuk diperbaiki, sedangkan kebanyakan daripada kawasan-kawasan ‘parking’ dan jalan raya ini adalah melibatkan kawasan tanah persendirian sama ada pemilik hartanah kedai ataupun oleh pemaju-pemaju yang asalnya membangunkan rumah-rumah kedai di kawasan pusat-pusat komersil ini.
Salah satu pertimbangan yang dibuat ialah adalah menjadi tanggungjawab kepada sama ada pemilik tanah atau pun pemilik pajakan tanah untuk memperbaiki fasiliti-fasiliti yang disebutkan tadi supaya diperbaiki, supaya kekal dalam keadaan yang baik dan selamat untuk penggunaan pelanggan dan orang ramai.
“Dalam menangani cabaran ‘ani’ jua, pihak Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Perancang Bandar dan Desa dan jua melalui ABCi telah berunding dengan pemilik-pemilik tanah dan jua pemilik pajakan tanah di rumah-rumah kedai tersebut untuk membuat pembaikan-pembaikan yang diperlukan dan ini menjadi cabaran yang berat kepada kementerian di mana ada di antara pemilik tanah mengatakannya rumah kedai ‘atu’ telah diberi pajakan kepada pemilik pajakan dan adalah menjadi tanggungjawab kepada pemilik pajakan untuk membuat penyelenggaraan ini dan sebaliknya setelah pemilik pajakan ini yang ditanyakan untuk ‘mengusai’, pemilik pajakan mengatakannya ia sudah mendapatkan ‘apatu’ pajakan ‘atu’ daripada pemilik tanah dan sedangkan kawasan tanah ‘atu’ adalah milik pemilik tanah. Jadi, ‘anitah’ keadaan yang menjadi ‘kepayahan’ kepada ‘kitani’ untuk menyelesaikan perkara ‘ani’,” tambah Yang Berhormat.
Sebagai cara jangka panjang, salah satu di antaranya ialah untuk memendekkan tempoh pajakannya ini supaya setiap tempoh pajakan ini setelah mencapai ke penghujung 30 tahun, pemilik tanah akan membuat penyelenggaraan yang selayaknya sebelum diperbaharui lagi pajakan kepada pemohon pajakan yang seterusnya ataupun ‘tenant’ yang seterusnya.
Dalam menangani masalah ini, tambah Yang Berhormat, kementerian melalui Authority on Building Control and Construction Industry, ABCi telah mendatangi pemilik-pemilik tanah berkenaan dan jua pemilik pajakan rumah-rumah kedai ini untuk membaiki. Umpamanya di kawasan komersial Menglait di mana ada satu tapak terdapat 61 buah rumah kedai.
“Setelah dijumpai, tidak ada yang bersetuju secara sukarela untuk memperbaiki jalan masuk ke kawasan komersial tersebut yang sudah rosak dengan teruk. Hanya kemudian dapat diperoleh tiga orang sahaja daripada pemilik-pemilik di kawasan tersebut yang bersetuju untuk mengeluarkan peruntukan untuk memperbaiki jalan-jalan tersebut.
“Jadi, di antara usaha ini menunjukkan satu cabaran dan kesulitan yang dihadapi, maka ‘ani’lah di antara usaha yang dibuat selain daripada memperbaiki undang-undang yang ada dan jua akan memperbaiki lagi dasar yang sedang diteliti pada masa ini. Di antaranya seperti yang pernah dicadangkan ialah untuk mewujudkan ‘management corporation’. Ini pun mendapat beberapa pandangan dan tantangan daripada pemilik-pemilik rumah kedai ‘ani’,” tambah Yang Berhormat pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.