Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BERAKAS GARISON, Jumaat, 7 Ogos. – Kementerian Pertahanan hari ini mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi, di semua surau perkhemahan dan garison Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), termasuk Masjid Pulau Baru-Baru, dengan acara utama di Surau Al-Fa'izun, Berakas Garison, di sini.
Hadir di Surau Al-Fa'izun, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Turut hadir, Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan dan Jawatankuasa Eksekutif ABDB, pegawai serta kakitangan Kementerian Pertahanan.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh jemputan-jemputan khas, termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, juga Ketua Kampung Belimbing, Daerah Brunei dan Muara; Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim; Penghulu Mukim Berakas 'A' dan Pemangku Ketua Kampung Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Lambak Kiri.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, yang dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan ll.
Seterusnya bacaan surah-surah lazim Al-Quran, Takhtim, Tahlil dan Doa Khatam Al-Quran dikepalai oleh Awang Muhd. Abdussalam bin Haji Jahari dari Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT).
Majlis juga diselitkan dengan tazkirah bertajuk 'Pesambah Untuk Raja' yang disampaikan oleh Awang Mohd. Rif'at Atiyah bin Anwari dari JAMA'AT.
Penyampaian cenderamata kepada para peserta khatam Al-Quran telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan ll.
Majlis Khatam Al-Quran berkenaan merupakan pesambah istimewa Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menzahirkan rasa penuh kesyukuran dan munajat ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga baginda terus dikurniakan lanjut usia, kesihatan yang baik dan kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam.