Pertandingan menghimpunkan komuniti pencinta haiwan peliharaan

20 Jul 2026 - 8:31am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji SulaimanFoto : Azmah Haji Ahad, Ihsan Si Manja Pet Grooming Spa    

BERAKAS, Ahad, 19 Julai. - Pertandingan Kucing Pedigri Antarabangsa Feline Fanciers Federation (FFF) Brunei Kali Ke-3 (3rd Brunei FFF Pedigree International Cat Show) berjaya menarik penyertaan lebih 100 ekor kucing daripada pelbagai baka dengan penyertaan peserta dari seluruh daerah, di samping menghimpunkan pencinta haiwan, pemain industri serta pelbagai inovasi berkaitan penjagaan haiwan kesayangan.

Diadakan di Peak Club, Royal Brunei Recreational Club, acara anjuran Si Manja Pet Grooming Spa dan Monster Factory Miri dengan kerjasama FFF ini  menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran baka serta jualan produk berkaitan haiwan peliharaan.

Berkenan berangkat menyaksikan pertandingan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman.

Berangkat sama, anakanda- nakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.

Tarikan utama semasa pertandingan tersebut ialah pertandingan kucing yang menampilkan pelbagai kategori seperti  Adult,  Junior,  Kitten,  Alter  dan  Household Pet.

Pengasas Si Manja Pet Grooming Spa, Billy Lim ketika ditemui mengulas mengenai objektif penganjuran acara yang mana ia bertujuan menghimpunkan komuniti pencinta kucing di Negara Brunei Darussalam selain memupuk budaya pemilikan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab.

"Pertandingan kucing bukan hanya mengenai kucing baka tulen tetapi juga meraikan kucing peliharaan biasa (household pets). Industri pertandingan kucing di Brunei masih di peringkat awal jika dibandingkan dengan negara seperti Amerika Syarikat, Republik Singapura, United Kingdom, Thailand dan Australia, yang mempunyai pelbagai pertandingan kucing dianjurkan oleh persatuan berbeza sepanjang tahun.

"Kami percaya ini merupakan antara pertandingan kucing yang dianjurkan mengikut piawaian antarabangsa di NBD. Justeru, kami berharap dapat meneruskan penganjurannya sebagai acara tahunan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kebajikan haiwan serta menggalakkan pemilikan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab," katanya.

Beliau turut mengongsikan, bagi edisi tahun ini, empat juri antarabangsa dari FFF iaitu dari Thailand, Malaysia, Indonesia dan China dijemput bagi mengadili pertandingan.

Menurutnya lagi, penyertaan melibatkan pelbagai kategori, bukan sahaja kucing baka tulen (pedigree), malah turut merangkumi kucing campuran, kucing kampung dan kucing yang diselamatkan (rescue cats). Malah, sekitar 30 peratus daripada penyertaan adalah dalam Kategori  Household Pet.

Bagi pertandingan tahun ini, hadiah akan diberikan kepada pemenang bagi Kategori Adult, Junior, Kitten, Alter / Neutered dan Household Pet dengan markah tertinggi. Turut dipertandingkan ialah anugerah Best Coat serta Best Colour and Pattern. Kemuncak pertandingan ialah penganugerahan gelaran  King of the Show  dan  Queen of the Show.

Acara tersebut turut diserikan dengan penyertaan  kira-kira 30 pempamer yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan merangkumi aspek pemakanan, kesihatan, penjagaan harian serta gaya hidup haiwan peliharaan termasuk pengusaha jualan makanan dan minuman.