Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan
TUTONG, Khamis, 30 Julai. - Pentas Perayaan Daerah Tutong bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026 di Gerai Perayaan Daerah Tutong malam tadi, diteruskan lagi dengan persembahan Malam Roses29 Sketsa dan Kugiran yang dikendalikan oleh NY29 Entertainment & Services.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai.
Juga hadir selaku tetamu khas, Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, Penghulu Mukim Bukit Sawat, dan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri.
Antara persembahan yang menarik pada malam berkenaan termasuklah persembahan sketsa dan nyanyian. Drama Muzikal bertajuk 'Yang Dikejar Tak Dapat, Yang Dikendong… (dot.dot.dot.)' mengisahkan mengenai kehidupan, percintaan, penipuan dan penyalahgunaan dadah.
Penganjuran persembahan seumpama berkenaan adalah bertujuan bagi menyemarakkan lagi kemeriahan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta memeriahkan lagi suasana Pentas Perayaan di Daerah Tutong.
Pentas Perayaan Daerah Tutong akan terus menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan bercorak kebudayaan, hiburan, keagamaan dan beberapa aktiviti kemasyarakatan sepanjang tempoh sambutan.
Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir menyaksikan persembahan Pentas Perayaan pada setiap malam diadakan sehingga 8 Ogos 2026 depan bagi sama-sama memeriahkan lagi Pentas Perayaan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80.