Persembahan Khas semarakkan keunikan budaya, taat setia kepada raja

5 Og 2026 - 9:16am

Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

TEMBURONG, Selasa, 4 Ogos. - Persembahan Khas Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong yang dipersembahkan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun 2026 pagi tadi menonjolkan keunikan tersendiri.

Persembahan yang berlangsung di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Mukim Bangar, Daerah Temburong berkenaan melibatkan seramai 412 peserta yang menggabungkan elemen-elemen tarian tradisional puak-puak di Daerah Temburong serta tarian bertemakan perpaduan dan kesetiaan rakyat kepada raja.

Persembahan Khas tahun ini mengangkat tema 'Raja Berwawasan Inspirasi Kesejahteraan dan Kemakmuran Negara' dengan konsep 'Raja dan Rakyat Sejiwa, Negara Sejahtera'.

Ia menggambarkan hubungan raja dengan rakyat yang saling mendukung, di mana raja yang prihatin dan pemedulian berterusan mengurniakan pelbagai kemudahan dan sokongan untuk rakyat demi kemaslahatan serta pembangunan dan kemajuan negara terutama dalam mencapai wawasan kemakmuran dan keharmonian negara.

Persembahan yang berdurasi tidak melebihi 20 minit itu dibahagikan kepada empat segmen.

Segmen pertama menampilkan tarian pembukaan yang ceria dan bertenaga, menandakan keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke majlis berkenaan.

Segmen kedua pula mempersembahkan tarian tradisional puak-puak di Daerah Temburong, mempamerkan keunikan dan kepelbagaian budaya warisan masyarakat setempat sebagai lambang perpaduan dalam kepelbagaian di bawah naungan pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Segmen ketiga menampilkan tarian bertemakan 'Raja Berwawasan Inspirasi Kesejahteraan dan Kemakmuran Negara', yang menggambarkan cetusan inspirasi daripada raja menjadi nadi dan semangat rakyat menuju kesejahteraan dan kemakmuran.

Segmen grand finale pula mempersembahkan tarian 'Raja dan Rakyat Sejiwa, Negara Sejahtera' yang melambangkan hubungan mahabbah antara raja dan rakyat yang akan berkekalan, serta taat setia rakyat yang tidak berbelah bahagi terhadap raja. 

Laungan 'Daulat Kebawah Duli Tuan Patik' menutup tirai Persembahan Khas.

Persembahan tersebut melibatkan komposisi peserta daripada Sekolah Menengah Sultan Hassan seramai 250 orang, sekolah rendah seramai 55 orang, belia dan penduduk Daerah Temburong seramai 25 orang, Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei seramai 55 orang, pemuzik seramai 15 orang serta penyanyi, penyelaras koir, narator dan juruacara seramai 12 orang.

Menurut Pengarah Persembahan, Dayang Noraqilah Bazilah binti Mohamad Daud, persiapan persembahan tersebut berjalan lancar dengan latihan yang dijalankan secara sistematik melalui pembahagian latihan secara kelompok.

"Alhamdulillah, kami membuat latihan secara sistematik dengan membahagi - bahagikan latihan secara kelompok," jelasnya.

Beliau menjelaskan bahawa pihaknya menterjemahkan persembahan dalam empat segmen yang menggambarkan belia dan seluruh penduduk masyarakat Daerah Temburong menyambut keberangkatan Kebawah DYMM dengan penuh kegembiraan, melambangkan kesejahteraan dan kemakmuran penduduk atas kebijaksanaan Kebawah DYMM dalam pemerintahannya.

Beliau juga menekankan bahawa persembahan tersebut merupakan luahan rasa ketulusan kegembiraan atas keberangkatan Kebawah DYMM serta sama-sama menyambut Hari Keputeraan melalui persembahan tarian dan nyanyian memuji-muji serta mendoakan Kebawah DYMM.

Mengenai cabaran yang dihadapi, beliau menyatakan bahawa jadual latihan yang singkat bersama penuntut-penuntut merupakan antara cabaran utama, namun semangat kerjasama yang ditunjukkan amat membanggakan.

Sebagai seorang belia tempatan yang termuda diberi kepercayaan untuk mengendalikan acara besar dan istimewa ini, Dayang Noraqilah Bazilah meluahkan perasaan teruja dan beruntung.

"Saya seorang belia tempatan yang termuda untuk membuat acara besar dan istimewa ini merasa sangat teruja dan beruntung dan ini menjadikan pengalaman terbesar saya seumur hidup saya. Dan pengalaman paling bermakna dapat memberikan persembahan yang terbaik, menggembirakan Kebawah DYMM serta kerabat serta jemputan-jemputan dan penonton yang hadir," tambahnya lagi.

Sebagai lambang seorang raja berjiwa rakyat, Kebawah DYMM sentiasa menzahirkan kasih sayang dan perhatian mendalam terhadap kesejahteraan rakyat. 

Keperibadian Kebawah DYMM yang luhur dan penuh kebijaksanaan menjadi teras kekuatan negara, menjadikan Kebawah DYMM bukan sahaja disanjung, malah dicintai sepenuh hati oleh rakyat.

Di bawah naungan pemerintahan Kebawah DYMM, Negara Brunei Darussalam terus teguh dengan falsafah Melayu Islam Beraja, merangkumi pembangunan dalam bidang agama, pendidikan, ekonomi, kesihatan, dan pentadbiran yang dihormati di peringkat antarabangsa.

Persembahan Khas ini bukan sekadar hiburan, tetapi merupakan cerminan rasa syukur dan taat setia rakyat Brunei kepada raja yang sentiasa berkorban dan berusaha untuk kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.