Persembahan Khas mengetengahkan ‘Raja Terbilang, Rakyat Gemilang’

2 Og 2026 - 8:05am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin

BELAIT, Sabtu, 1 Ogos. - Rakyat dan penduduk di Daerah Belait setia menanti bertemu dengan raja yang dikasihi dalam keadaan cuaca yang cerah dan indah dengan kehadiran segenap lapisan masyarakat untuk sama-sama menjunjung ziarah Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Belait sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026.

Pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Belait, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menyaksikan Persembahan Khas dengan tema 'Raja Terbilang, Rakyat Gemilang' yang berlangsung di Kawasan Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait hari ini.

Persembahan khas sempena Majlis Ramah Mesra bagi Daerah Belait pada kali ini telah melibatkan lebih 435 peserta daripada kalangan pelajar sekolah dan para belia.

Format persembahan berkenaan dibuat secara berperingkat dengan dimulai persembahan gerak laku kontemporari gabungan kelembutan, kesopanan dan dinamik yang dibentuk melambangkan rakyat menyambut keberangkatan dan mendaulatkan raja yang dihormati dan disayangi.

Konsep persembahan berkenaan juga menggambarkan generasi belia Negara Brunei Darussalam (NBD) yang bersemangat, proaktif, berjiwa besar, progresif, dinamik dan berwawasan yang ceria dan gembira terhadap kepimpinan dan pemerintahan Kebawah DYMM yang adil dan bijaksana.

Ia juga digabungkan dengan tarian kontemporari, nyanyian koir yang diiringi oleh gabungan alat muzik tradisional dan moden (‘live band’).

Manakala, persembahan ‘grand finale’ khususnya dari Daerah Belait yang ceria dan gembira meraikan hari keputeraan raja yang berdaulat lagi terhormat dan disayangi rakyat diekspresifkan melalui sebuah lagu tema khas iaitu 'Raja Terbilang, Rakyat Gemilang'.

Tema 'Raja Terbilang, Rakyat Gemilang' adalah menghuraikan mengenai usaha Kebawah DYMM dalam menjaga kemaslahatan dan kebajikan rakyat. Begitu banyak kemudahan, kesenangan dan keistimewaan yang dikurniakan demi memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk akan sentiasa terjamin.

Di samping itu, kewibawaan baginda juga dapat dilihat melalui kelaziman baginda yang sering berangkat bercemar duli serta turun padang bagi meninjau sendiri hal ehwal kemajuan dan pembangunan negara dalam semua aspek kehidupan.

Kebawah DYMM sangat dikasihi oleh rakyat dan penduduk NBD kerana berjiwa rakyat dan baginda adalah ikon dan inspirasi generasi berwawasan.

Dengan kepimpinan baginda yang telah merealisasikan wawasan negara dapat disaksikan dengan terlaksananya pelbagai kemajuan dalam membentuk rakyat dan bangsa yang beragama, berpendidikan dan negara yang mempunyai kestabilan ekonomi serta pembangunan sekali gus menjadikan NBD yang dikenali serta dihormati di serata dunia.

NBD sangat bertuah kerana mempunyai seorang raja yang berwawasan dalam memimpin negara untuk memastikan negara ini mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035. Baginda adalah seorang tokoh pemimpin dunia dengan berpaksikan falsafah Melayu Islam Beraja dalam setiap aspek pentadbiran negara dan sosiobudaya yang bersendikan ajaran ugama Islam menurut Ahli Sunnah Waljamaah.

Kebawah DYMM juga merupakan seorang pemimpin yang berwawasan serta bercita-cita tinggi dalam memastikan kemakmuran serta kesejahteraan negara. Baginda adalah seorang raja yang adil saksama dalam memerintah negara, sangat peka, prihatin, pemurah dan sangat bertanggungjawab ke atas segala hal ehwal kebajikan rakyat dan negara.