Perpustakaan DBP perkasa literasi digital

21 Jul 2026 - 8:09am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi 

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 20 Julai. – Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus memperkukuh peranannya sebagai pusat ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat dengan memperluaskan pelbagai inisiatif literasi digital bagi melahirkan masyarakat yang celik teknologi, berpengetahuan serta mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan era digital.

Ketua Bahagian Perpustakaan, DBP, Dayang Emi Suryaney binti Haji Hipny ketika ditemui menjelaskan bahawa perpustakaan pada masa kini bukan lagi sekadar tempat meminjam buku, malah berfungsi sebagai pusat pembelajaran digital yang menyediakan pelbagai kemudahan dan latihan bagi meningkatkan kemahiran teknologi masyarakat.

Menurutnya lagi, antara program yang giat dilaksanakan ialah Bengkel Asas Komputer yang memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kemahiran digital asas, termasuk penggunaan komputer dan aplikasi teknologi dalam kehidupan seharian.

Selain itu tambahnya, Bengkel Literasi Maklumat turut diadakan bagi membimbing pengguna menggunakan enjin carian, pangkalan data digital serta pelbagai sumber maklumat secara berkesan. Melalui bengkel berkenaan, peserta diajar kaedah mencari, menilai, mengesahkan dan menggunakan maklumat yang sahih, tepat serta beretika dalam persekitaran digital.

"Pada masa kini, cabaran bukan lagi mendapatkan maklumat, tetapi memastikan maklumat yang diterima adalah benar dan boleh dipercayai. Oleh itu, masyarakat perlu mempunyai kemahiran menilai kesahihan maklumat sebelum berkongsi atau menggunakannya.

"Bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dalam talian, Perpustakaan DBP juga menganjurkan Bengkel Jenayah Siber yang memberi penekanan kepada aspek keselamatan dan privasi digital, termasuk langkah melindungi data peribadi ketika menggunakan platform digital," katanya lagi.

Dayang Emi Suryaney seterusnya berkata pelbagai latihan turut ditawarkan merangkumi penggunaan perisian komputer, reka bentuk grafik, pencarian maklumat yang sahih serta pembangunan kreativiti digital bagi membantu masyarakat meningkatkan kemahiran yang relevan dengan keperluan semasa.

Seiring dengan perkembangan teknologi terangnya, Perpustakaan DBP turut menyediakan pelbagai perkhidmatan pembelajaran digital seperti penggunaan teknologi Realiti Terimbuh (Augmented Reality-AR), e-buku, buku audio dan buku animasi yang mampu menjadikan pengalaman pembelajaran lebih interaktif dan menarik.

"Perpustakaan DBP juga aktif menganjurkan program secara hibrid termasuk Pertandingan Mari Bercerita serta pelbagai aktiviti dalam talian, selain menghasilkan bahan digital seperti e-buku dan buku interaktif yang mudah diakses oleh masyarakat.

"Dalam usaha memperluaskan penyampaian maklumat, DBP turut memanfaatkan platform media sosial sebagai medium penyebaran informasi, promosi program dan perkongsian ilmu kepada orang ramai," ujarnya lagi.

Dayang Emi Suryaney berharap usaha berterusan Perpustakaan DBP berkenaan dapat melahirkan masyarakat di negara ini yang bukan sahaja gemar membaca, malah memiliki literasi digital yang tinggi, mampu menggunakan teknologi secara beretika, kreatif dan bertanggungjawab dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 serta era pendigitalan negara.