Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said, ihsan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. - Minggu Maritim Negara Brunei Darussalam (BDMW) 2026 dilancarkan secara rasmi pada majlis yang diadakan di Dermaga Diraja Brunei, di ibu negara, dengan membawa tema pada tahun ini 'Powering Maritime Excellence: Safe Seas, Thriving Economy, Future-Ready People'.
Dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD), acara tersebut menjadi platform utama bagi menggalakkan dialog, inovasi dan kerjasama dalam sektor maritim.
Pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pengerusi MPABD, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, yang hadir selaku tetamu kehormat.
Dalam ucaptamanya, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi menekankan, tema tahun ini mencerminkan hubungan yang saling melengkapi antara keselamatan maritim, kemakmuran ekonomi dan pembangunan modal insan.
Menurut Yang Berhormat, perairan yang selamat membina keyakinan menarik pelaburan, manakala pelaburan mewujudkan peluang yang bermakna kepada rakyat, selain menegaskan bahawa keselamatan, sekuriti dan perlindungan alam sekitar merupakan asas kepada pertumbuhan maritim yang mampan dan bukan penghalang kepada pembangunan ekonomi.
Bagi menterjemahkan komitmen tersebut kepada tindakan, Yang Berhormat menggariskan dua keutamaan iaitu memanfaatkan keanggotaan Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam International Association of Marine Aids to Navigation and Lighthouse Authorities (IALA) bagi memperkukuh keupayaan maritim negara melalui penambahbaikan bantuan navigasi, pemodenan Perkhidmatan Trafik Kapal (Vessel Traffic Services - VTS), memperkukuh peningkatan kompetensi teknikal serta memperluaskan kerjasama serantau, selain mempertingkatkan kesiapsiagaan operasi bagi Ship-to-Ship and Lay-Up Designated Area (SLDA).
Jelas Yang Berhormat, MPABD baru-baru ini telah melaksanakan latihan kesiapsiagaan yang disepadukan dengan Pelan Kontingensi Tumpahan Minyak Kebangsaan (National Oil Spill Contingency Plan - NOSCOP) bagi menguji prosedur kecemasan, sistem komunikasi serta penyelarasan antara agensi sebelum operasi komersial dimulakan.
Mengenai kepentingan pembangunan modal insan yang inklusif, Yang Berhormat turut menyatakan penghargaan terhadap penekanan BDMW 2026 kepada pembangunan belia, peningkatan keupayaan serta penglibatan wanita yang lebih aktif dalam sektor maritim.
Bagi merealisasikan matlamat jangka panjang tersebut, Yang Berhormat menyeru komitmen berterusan menerusi pelaksanaan projek secara pantas dengan tanggungjawab dan garis masa yang jelas; penyepaduan yang lancar antara kerajaan, industri dan teknologi; serta kerjasama kukuh melibatkan kerajaan, industri, institusi akademik dan pihak berkepentingan antarabangsa.
Yang Berhormat turut menegaskan, aspirasi strategik Negara Brunei Darussalam tidak semestinya menjadi negara maritim yang terbesar tetapi perlu berusaha menjadi antara yang paling dipercayai dari segi tadbir urus, piawaian keselamatan serta perkhidmatan yang cekap dan boleh dipercayai.
Tambah Yang Berhormat, perairan yang selamat membina keyakinan, keyakinan memperkukuhkan ekonomi dan tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa hadapan akan mengubah peluang kepada kemajuan negara yang berkekalan.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Awang Haji Mohammad Ashraf bin Haji Bujang Yussop, disusuli dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Eksekutif MPABD, Kapten (B) Zil Husam bin Haji Abdul Rahman.
Dalam ucapannya, beliau antara lain menjelaskan, BDMW 2026 berperanan sebagai platform yang menghimpunkan agensi-agensi kerajaan, pihak industri, institusi akademik, organisasi antarabangsa serta bakal pemimpin maritim negara.
"Melalui platform ini, kita bertukar-tukar pandangan, memperkukuh kerjasama dan berganding bahu dalam membentuk masa depan sektor maritim NBD," ujar beliau.
Majlis itu turut menayangkan mesej video khas daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), Arsenio Dominguez, yang memuji komitmen berterusan NBD dalam memperkasa perkapalan yang selamat, terjamin, cekap dan mampan.
Dalam mesej tersebut, beliau mengiktiraf penyertaan NBD ke dalam Konvensyen Fasilitasi (FAL) IMO, pelaksanaan Maritime Single Window serta Pelan Strategik Navigating 2030 MPABD, di samping menggalakkan kerjasama berterusan bagi membentuk masa depan maritim yang lebih pintar, hijau dan inklusif.
Mesej khas daripada Setiausaha Agung International Organization for Marine Aids to Navigation (IALA), Francis Zachariae, pula menegaskan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam memperkukuhkan bantuan navigasi marin, keselamatan maritim serta pembangunan mampan.
Mesej beliau juga menekankan pentingnya kerjasama antara pentadbiran maritim dalam meningkatkan keselamatan dan kecekapan navigasi demi manfaat komuniti maritim global.
Pada majlis tersebut, Yang Berhormat menyampaikan tanda penghargaan kepada para penaja dan penerima sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka kepada persatuan industri maritim dan pelabuhan NBD serta atas kecemerlangan MPABD dalam mengendalikan kecemasan maritim.
Manakala, pembentangan khas mengenai sejarah sektor maritim Negara Brunei Darussalam disampaikan oleh Dr. Awang Haji Mohd. Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos.
Acara berkenaan turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pusat Timbang Tara Brunei Darussalam (BDAC) dan Singapore Chamber of Maritime Arbitration (SCMA), serta Memorandum Persefahaman antara Anson International Sdn. Bhd. dan SPHI Marine Sdn. Bhd.
Para jemputan juga berpeluang mengunjungi pameran yang melibatkan penyertaan daripada agensi kerajaan, rakan industri, institusi pengajian tinggi dan organisasi antarabangsa.
BDMW 2026 menampilkan program komprehensif selama tiga hari bermula dari 6 hingga 8 Ogos 2026 yang merangkumi lapan tema utama termasuk Dialog Kepimpinan mengenai Masa Depan Maritim di ASEAN, Ship-to-Ship and Lay-Up Designated Area (SLDA), Ekonomi dan Perdagangan Maritim; Kelestarian Maritim, Pembangunan Tenaga Kerja dan Bakat; Pelabuhan Pintar dan Pendigitalan; serta Keselamatan dan Sekuriti Maritim melalui operasi bersepadu.
Forum-forum yang diadakan menghimpunkan pelbagai penceramah terdiri daripada pakar industri di peringkat serantau dan antarabangsa yang berkongsi pengetahuan serta pandangan mengenai pelbagai isu penting dalam sektor maritim.
Selain forum yang dinamik, acara turut menyediakan ruang pameran yang melibatkan 70 pempamer daripada agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pengajian tinggi dan organisasi antarabangsa. Pameran berkenaan menyediakan peluang bernilai untuk jaringan kerjasama dan peluang pembelajaran.
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Duta-Duta Besar dan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi, Ahli-ahli Lembaga Pengarah MPABD, pegawai-pegawai kanan kerajaan, wakil-wakil institusi pengajian tinggi serta rakan-rakan industri maritim.
BDMW 2026 berlangsung dari 6 hingga 9 Ogos 2026 di Dermaga Diraja Brunei.
Acara tersebut dibukakan untuk kunjungan orang ramai setiap hari bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang, kecuali pada hari Jumaat, di tutup sementara dari jam 12.00 tengah hari hingga 2.00 petang, untuk memberi laluan kepada Sembahyang Jumaat.
Bagi mendapatkan jadual penuh forum, pameran dan aktiviti, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.bruneimaritimeweek.com.
Kini memasuki edisi kali ketiga, BDMW terus mengukuhkan kedudukannya sebagai acara tahunan dan membuktikan komitmen teguh MPABD dalam memacu pembangunan serta pemodenan sektor maritim NBD secara berterusan.