Perkenalkan permainan tradisi kepada generasi muda

14 Jul 2026 - 9:08am

Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Hernie Suliana Othman

BERAKAS, Isnin, 13 Julai. - Dalam usaha untuk memperkenalkan permainan tradisi kepada generasi muda, Jabatan Muzium-Muzium, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan petang tadi mengadakan Bengkel Permainan Tradisi sempena Pesta Buku Brunei 2026 yang berlangsung di Sudut Bacaan, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini.

Pembantu Muzium, Jabatan Muzium-Muzium, Dayang Hajah Zaliha binti Mudim Haji Metusin, dalam temu bual bersama Pelita Brunei, antara lain menjelaskan bahawa bengkel berkenaan diadakan sebagai usaha untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada generasi baharu, antaranya permainan simban, congkak, tilu-tilan, pasang, salok-salokan dan buah lapas-lapas.

"Sebagai contoh, permainan simban. Generasi muda masa kini kebanyakannya tidak tahu apa itu permainan simban, padahal pada zaman kami dahulu, permainan simban masih sering dimainkan," tambahnya.

Dalam temu bual berkenaan, beliau turut menjelaskan mengenai perbezaan permainan seperti congkak.

Beliau menyatakan bahawa permainan tradisi seperti congkak juga ada dimainkan di Brunei dan Malaysia, dan permainan congkak di kedua-dua negara berkenaan hampir sama dengan sedikit perbezaan. Selain itu, cara bermain congkak juga mempunyai sedikit perbezaan antara zaman dahulu dengan sekarang.

Semasa ditanyakan mengenai perubahan zaman, beliau menjelaskan bahawa pihak mereka sedia maklum bahawa kanak-kanak pada masa ini lebih kerap bermain gajet, sama ada telefon pintar mahupun tablet.

Dalam usaha memartabatkan permainan tradisi berkenaan, beliau menjelaskan bahawa Jabatan Muzium-Muzium juga telah mengadakan beberapa bengkel dan program untuk memperkenalkan permainan tradisi ke sekolah-sekolah rendah dan menengah.

Jelasnya, bengkel dan program berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Beliau seterusnya berharap agar menerusi bengkel dan program yang telah diadakan pada masa kini dan sebelumnya, orang ramai akan lebih mengetahui tentang permainan tradisi Brunei.