Perarakan kenderaan pacuan 4 roda semarakkan Sambutan Hari Keputeraan

13 Jul 2026 - 9:52am

SEKITAR majlis tersebut.

Oleh : Aimi Sani

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

GADONG, Ahad, 12 Julai. - Majlis Kibarkanlah Bendera dan Pelancaran Perarakan Kenderaan Pacuan Empat Roda serta Pengagihan Bendera Kecil Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi Peringkat Daerah Brunei dan Muara (DBM) telah berlangsung dengan jayanya di Rizqun International Hotel.

Acara tersebut diadakan khusus bagi Peringkat DBM sekali gus menyemarakkan lagi suasana gilang-gemilang sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Tahun 2026.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Perayaan bagi Peringkat DBM itu ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof.

TETAMU kehormat semasa melekatkan bendera negara.

Kemuncak majlis menyaksikan tetamu kehormat dijemput bagi melekatkan bendera kecil NBD ke sebuah kenderaan pacuan empat roda di pekarangan hotel berkenaan.

Yang Berhormat seterusnya melancarkan perarakan pengibaran bendera yang disertai oleh sebanyak 80 buah kenderaan pacuan empat roda, sebelum konvoi berkenaan berakhir di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Antara yang hadir bagi menyemarakkan majlis tersebut ialah Yang Berhormat Ahli-ahli MMN, Pemangku Pegawai DBM, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim; Penghulu Mukim Gadong 'B', ketua-ketua kampung di bawah Mukim Gadong 'B' serta ahli-ahli jawatankuasa majlis.