Peranan strategik sokong pencapaian Wawasan Brunei 2035

4 Og 2026 - 8:38am

Oleh : Marlinawaty HussinFoto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Pengoperasian satu Integrated National Wawasan Dashboard dicadangkan bagi memastikan pencapaian KPI kementerian benar-benar menyumbang kepada National Outcomes dan matlamat Wawasan Brunei 2035.

Cadangan itu dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin dalam perbahasan bagi usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22, MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Yang Berhormat berkata, pada masa ini terdapat pelbagai ‘dashboard’, jawatankuasa dan sistem pelaporan di peringkat kementerian serta sektor yang masing-masing mempunyai kegunaannya tersendiri.

Namun, tegas Yang Berhormat, selain kepentingan KPI kementerian, perkara yang perlu diberi perhatian ialah sama ada keseluruhan pencapaian KPI tersebut benar-benar membawa ke arah National Outcomes dan seterusnya menyumbang kepada matlamat Wawasan Brunei 2035.

Menurut Yang Berhormat, fokus atau fungsi Menteri Penyelaras dalam perkara berkenaan adalah bekerjasama dengan Menteri-menteri sektoral untuk mengenal pasti KPI kementerian yang wajar dipantau di peringkat nasional.

Langkah itu, kata Yang Berhormat, memastikan ‘collective delivery’ ke arah pencapaian National Outcomes, dengan Menteri-menteri sektoral kekal bertanggungjawab terhadap output masing-masing, manakala Menteri Penyelaras memantau bagaimana output tersebut benar-benar bergabung dan saling menyokong tanpa jurang atau konflik antara portfolio.

Yang Berhormat menjelaskan, Integrated Wawasan Dashboard yang dicadangkan tersebut dapat membawa semangat ‘collective delivery’ serta membantu memahami keberkesanan penyampaian bersama dalam mencapai sesuatu National Outcome.

Sebagai contoh, Yang Berhormat menyentuh mengenai National Outcome Food Security, yang menurutnya tidak hanya bermaksud berapa banyak makanan yang dapat dihasilkan dalam negara.

Yang Berhormat berkata, sekuriti makanan merangkumi beberapa komponen termasuk kemampuan (affordability) rakyat untuk membeli makanan asas, ketersediaan bekalan (availability), kepelbagaian sumber import (security of supply), keberadaan stok simpanan strategik (strategic stockpiles), kapasiti penyimpanan, daya tahan rantaian bekalan (supply chain resilience) serta keupayaan pengedaran (distribution) ketika berlakunya gangguan (disruptions).

Apabila semua komponen tersebut dipaparkan dalam satu ‘dashboard’ yang sama, ia dapat dipantau sebagai satu ‘collective delivery’ bagi mencapai National Outcome Food Security negara terang Yang Berhormat.

Tambah Yang Berhormat lagi, perkara tersebut melibatkan pelbagai pihak termasuk perdagangan, pertanian, pengangkutan, pelabuhan, kewangan, keselamatan, gudang serta sektor swasta.

Sementara itu, Yang Berhormat turut mencadangkan supaya satu ‘performance-review schedule’ ditetapkan, dengan kekerapan semakan prestasi disesuaikan mengikut tahap kepentingan dan urgensi sesuatu perkara.

Yang Berhormat berkata, setiap semakan perlu menghasilkan keputusan termasuk tindakan yang diperlukan, pihak yang bertanggungjawab, bantuan yang diperlukan, ‘recovery mechanism’ serta ‘escalation mechanisms’ sekiranya perkara berkenaan masih belum diselesaikan.

Jelas Yang Berhormat, kelajuan membuat keputusan amat penting kerana masalah yang dikenal pasti lebih awal biasanya lebih mudah dan kurang kos untuk diperbaiki.

Yang Berhormat seterusnya menegaskan, kejayaan penyelarasan perlu diukur melalui keputusan yang lebih pantas serta hasil yang benar-benar dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat. Salah satu cara untuk menilai keberkesanan penyelarasan adalah melalui penerimaan maklum balas daripada rakyat sebagai satu bentuk ‘diagnostic evidence’.

Menurut Yang Berhormat, walaupun angka menunjukkan sesuatu program telah selesai dilaksanakan, hanya rakyat yang menggunakan perkhidmatan tersebut dapat merasakan sama ada ia benar-benar mudah, cepat dan berkesan.

Dalam pada itu, Yang Berhormat menghargai bahawa struktur penyelarasan berkenaan masih dalam proses pembangunan (work-in-progress).

Yang Berhormat turut berharap agar diberikan penjelasan mengenai bagaimana sumber seperti belanjawan, tenaga manusia, data dan sistem digital akan diselaraskan bagi menyokong keutamaan bersama.

Yang Berhormat berkata, usaha penyelarasan perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan keutamaan negara kepada Joint Coordination Action Activities, penetapan ‘accountable owner’ bagi setiap National Outcome, pengoperasian Integrated National Wawasan Dashboard, pelaksanaan ‘performance-review schedule’ serta pengukuran hasil (outcomes) yang benar-benar dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat.

Yang Berhormat turut menyatakan kesediaan untuk membantu dalam apa jua ruang dan kemampuan yang bersesuaian sebagai penghubung, memberikan pandangan serta bertindak sebagai ‘strategic partner’ dalam usaha menjayakan Wawasan Brunei 2035.

Yang Berhormat berharap melalui penyelarasan yang lebih kukuh, negara akan melihat keputusan yang lebih pantas, pemilikan tanggungjawab yang lebih jelas, halangan dapat diselesaikan dan hasil yang dicapai bukan sahaja dilaporkan, tetapi benar-benar dapat dilihat, dirasakan dan dinikmati oleh seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.