Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji AhmadFoto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Penyelarasan sistem penyampaian (delivery system) dan sistem pemantauan yang lebih cekap, telus dan bersepadu adalah antara aspek penting dalam memastikan pelaksanaan dasar kerajaan dapat diterjemahkan dengan lebih berkesan demi mencapai sasaran Wawasan Brunei 2035.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim berkata demikian dalam perbahasan bagi usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22, MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Menurut Yang Berhormat, kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai pelantikan Menteri-menteri Penyelaras menunjukkan betapa pentingnya penyelarasan dalam memastikan jurang pelaksanaan antara kementerian tidak terus melebar.
Yang Berhormat menegaskan mandat yang dikurniakan kepada Menteri-menteri Penyelaras merupakan satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh komitmen, integriti dan istiqamah demi kemanfaatan rakyat serta kemajuan negara.
Menurut Yang Berhormat lagi, setiap pelan tindakan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 hendaklah disokong dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas dan sentiasa dinilai semula bagi memastikan strategi yang dilaksanakan terus relevan dengan perubahan landskap geopolitik dan sosioekonomi global.
Menyentuh mengenai sistem penyampaian kerajaan, Yang Berhormat berkata perancangan yang baik hanya akan membuahkan hasil sekiranya disokong oleh sistem pelaksanaan dan pemantauan yang cekap serta bersepadu.
Yang Berhormat turut mencadangkan supaya setiap kementerian menubuhkan atau memperkukuh Unit Kemajuan dan Penyelarasan Strategik yang bukan sahaja bertindak sebagai ‘think tank’, malah bertanggungjawab merancang, melaksana, memantau serta menilai keberkesanan program penyelarasan masing-masing.
Tambah Yang Berhormat, penyelarasan tersebut hendaklah selaras dengan objektif, sasaran dan KPI yang ditetapkan Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 supaya seluruh jentera kerajaan dapat bergerak seiring serta menghasilkan keputusan yang lebih cepat, konsisten dan berorientasikan hasil.