Oleh : Khartini Hamir
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Nurhafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Cabaran utama dalam pelaksanaan pendekatan Whole of Government adalah memastikan tindak balas kerajaan sentiasa seiring dengan perkembangan global yang semakin kompleks dan tidak menentu.
Sebagai contoh, isu semasa yang berlaku di Timur Tengah telah menjejaskan ‘supply chain’ ekonomi global khususnya sektor minyak dan gas.
Selain itu, pengalaman yang dilalui sewaktu pandemik COVID-19 beberapa tahun lalu, juga telah memberi kesan kepada pelbagai bidang keutamaan pembangunan negara secara serentak, sama ada pada peringkat perancangan mahupun pelaksanaan.
Oleh itu, pendekatan Whole of Government menjadi semakin penting, memandangkan landskap pembangunan negara pada masa ini dipengaruhi oleh pelbagai perkembangan global yang saling berkait dan memberi kesan kepada negara.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof bagi menjawab tentang cabaran utama serta langkah-langkah berterusan oleh kerajaan bagi memperkukuh pelaksanaan pendekatan Whole of Government yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub, Penghulu Mukim Ukong, pada hari pertama Mesyuarat Kedua Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2026 di Dewan Majlis, Bangunan Majlis Mesyuarat Negara, di sini.
Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II menambah, ketidaktentuan geopolitik, ekonomi global, perubahan iklim, kemajuan teknologi, keselamatan siber, perubahan demografi serta cabaran-cabaran baharu yang lain bukan sahaja memberi implikasi kepada satu sektor, malah memerlukan tindak balas yang menyeluruh merentasi pelbagai kementerian dan agensi masing-masing yang mempunyai mandat, keutamaan, proses kerja dan sumber yang berbeza.
“Pada masa yang sama, keutamaan negara seperti pembangunan modal insan, kepelbagaian ekonomi, kesejahteraan sosial dan kemampanan juga saling berkait dan memerlukan tindakan yang bersepadu,” jelas Yang Berhormat lagi.
Justeru, pendekatan Whole of Government katanya, akan terus memperkukuh penyelarasan dasar, strategi dan tindakan kerajaan agar setiap usaha pembangunan saling melengkapi, responsif bersepadu dan berpandangan jauh terhadap cabaran semasa atau ‘emerging trends’.
Dalam konteks mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 jelas Yang Berhormat lagi, pendekatan akan diperkukuhkan dan dipantau melalui Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 merentasi ketiga-tiga matlamat Wawasan Brunei 2035, yang didokong melalui Manpower, Social dan Economic Blueprints.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, Pelantikan Menteri-Menteri Penyelaras turut mewujudkan peluang untuk memperkukuh tadbir urus dan penyelarasan rentas kementerian bagi mempercepat pelaksanaan dengan mengenal pasti isu-isu rentas kementerian lebih awal, dibincangkan secara menyeluruh dan ditangani secara bersama agar setiap keputusan dan tindakan yang diambil benar-benar memberi impak positif kepada pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat dan penduduk.
“Melalui kerjasama erat antara kementerian, agensi serta pihak-pihak berkepentingan, kerajaan akan terus memastikan setiap dasar, strategi dan pelaksanaan saling melengkapi bagi mendukung keutamaan pembangunan negara, memperkukuh kedayatahanan negara, serta memastikan manfaat pembangunan terus dinikmati oleh rakyat dan penduduk masa kini dan generasi akan datang,” ujar Yang Berhormat mengakhiri penjelasannya.