Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Pembangunan Masyarakat
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. - Berikutan satu akaun di aplikasi TikTok dengan akaun nama ‘@sistemkebajikannegara’ yang menyalahgunakan logo rasmi panji-panji kerajaan dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) di dalam poster TikTok telah memuat naik maklumat palsu mengenai pendaftaran serta kelayakan untuk mendapatkan Bantuan Khas Sistem Kebajikan Negara (SKN).
JAPEM ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa maklumat tersebut adalah tidak benar dan jabatan ini tidak berkaitan dengan akaun tersebut dan juga tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang disebarkan.
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk berhati-hati, tidak mudah terpedaya dan mempercayai maklumat-maklumat yang disebarkan melalui aplikasi sosial tanpa memastikan kesahihannya terlebih dahulu.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak mengongsikan butiran peribadi kepada pihak tertentu yang belum dipastikan kesahihannya.
JAPEM sangat memandang serius terhadap isu penyalahgunaan logo jabatan dan perkara ini juga telah dilaporkan kepada pihak berkuasa.
JAPEM juga turut mengingatkan orang ramai bahawa perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih, apatah lagi yang palsu dan direka oleh mereka yang semata-mata berniat untuk mengelirukan adalah menjadi kesalahan.
Malah ia boleh dilaporkan di bawah perundangan Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148 (Public Order Act, Cap 148) Seksyen 34, iaitu sesiapa yang sama ada menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah, yang menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh dipenjarakan tiga tahun atau denda sebanyak BND3,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagi maklumat lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi JAPEM, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Talian Kebajikan 141 yang beroperasi 24 jam jika ingin melaporkan sebarang isu-isu yang melibatkan kebajikan dan kemaslahatan orang ramai.
Platform rasmi ini adalah untuk memastikan maklumat dan isu yang diadukan akan diambil tindakan dengan segera dan berkesan, serta mengelakkan daripada penyebaran berita-berita palsu dan berita-berita tular yang mungkin dapat mengganggu ketenteraman awam dan juga disalah guna.