Pengagihan rumah kerajaan dilaksanakan secara adil, telus

5 Og 2026 - 8:53am

Oleh : Muhammad Khairulanwar Ali Rahman

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Nurhafilah Pg. Osman

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Setakat 9 Julai 2026, seramai lebih 1,000 orang penjawat awam atau tepatnya 1,092 orang penjawat awam masih lagi dalam senarai menunggu bagi permohonan rumah kerajaan di bawah kawalan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ini adalah terdiri daripada Bahagian l - empat orang, Bahagian ll - 157 orang, Bahagian lll - 247 orang dan Bahagian Vl - 684 orang.

Secara purata, tempoh menunggu adalah di antara satu hingga empat tahun, ini bergantung kepada beberapa faktor iaitu pertama, bekalan perumahan kerajaan yang terhad berbanding jumlah permohonan yang diterima. Kedua, permintaan yang tinggi terhadap kategori perumahan yang tertentu contohnya, rumah sebuah atau ‘detached house’, rumah berkembar atau ‘semi-detached’, rumah teres atau pangsapuri yang mempunyai kemudahan moden.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad bagi menjawab persoalan diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, Ketua Kampung Belimbing, mengenai jumlah terkini penjawat awam yang masih menunggu rumah sewa kerajaan, purata tempoh menunggu, mekanisme bagi memastikan pengagihan dilaksanakan secara adil dan telus dan adakah cadangan bagi menyediakan sistem dalam talian yang membolehkan pemohon menyemak status permohonan dan kedudukan giliran mereka.

Yang Berhormat Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam) juga memaklumkan bahawa selain daripada JPA, ada beberapa kementerian dan jabatan kerajaan serta institusi pengajian tinggi awam seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Universiti Brunei Darussalam yang mana kementerian dan agensi ini juga turut menguruskan perumahan kerajaan di bawah kawalan masing-masing serta memantau permohonan dan senarai menunggu mengikut keperluan agensi masing-masing dan ini dilaksanakan secara berasingan daripada JPA.

“Dalam masa yang sama, terdapat juga pemohon yang memilih untuk terus kekal dalam senarai menunggu sehinggalah mereka ditawarkan atau diperuntukkan rumah mengikut kategori rumah yang menepati dan memenuhi kecenderungan mereka dan ketiga, sebahagian flat rumah milik kerajaan yang sedia ada masih lagi memerlukan kerja-kerja pembaikan sebelum dapat didiami dengan selamat, ditawarkan dan diperuntukkan kepada pemohon,” jelas Yang Berhormat pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Bagi memastikan proses pengagihan rumah kerajaan dilaksanakan secara adil, telus dan teratur, jelas Yang Berhormat, JPA berpandukan dasar peraturan dan mekanisme tadbir urus yang telah ditetapkan, antaranya pertama, pematuhan kepada Surat Pemberitahuan JPA Bilangan 14/2014 iaitu peraturan untuk mendiami perumahan kerajaan di bawah kawalan kementerian atau jabatan yang berkenaan yang diguna pakai oleh semua kementerian, jabatan kerajaan dan institusi pengajian tinggi awam.

“Kedua, penggunaan Buku Panduan JPA sebagai panduan pelaksanaan bagi memastikan pengurusan dan peruntukan rumah kerajaan dilaksanakan secara konsisten, telus dan saksama.

“Ketiga, penubuhan Jawatankuasa Ad-Hoc Penyelarasan Penyewaan Perumahan yang dianggotai oleh beberapa wakil agensi kerajaan sebagai mekanisme semak dan imbang atau ‘check and balance’ dalam pengurusan perumahan kerajaan.

“Ini sudah setentunya salah satu usaha untuk memastikan pengagihan yang adil, telus dan saksama.

“Keempat, jawatankuasa mempertimbangkan mendiami perumahan kerajaan yang berperanan meneliti dan mempertimbangkan permohonan atau rayuan, isu-isu teknikal atau perkara-perkara berkaitan pelaksanaan dan penguatkuasaan dasar serta peraturan perumahan kerajaan,” tambah Yang Berhormat.

Berkenaan dengan cadangan Yang Berhormat Awang Haji Daud supaya diwujudkan sistem dalam talian yang membolehkan pemohonan menyemak status permohonan dan kedudukan giliran mereka, JPM amat mengalu-alukan cadangan tersebut, ia merupakan satu cadangan yang baik selaras dengan usaha pendigitalan Perkhidmatan Awam.

Cadangan ini akan diteliti dari segi kebolehlaksanaan termasuk kesesuaian sistem, penyelarasan data antara agensi yang mengurus perumahan kerajaan serta aspek keselamatan dan integriti maklumat.

Sekiranya perkara ini dapat dilaksanakan, sistem sedemikian bukan saja akan meningkatkan ketelusan, malah akan memudahkan pemohon mendapatkan maklumat terkini mengenai status permohonan mereka dengan lebih cepat dan efisien.